Kadar pendaftaran MyDigital ID dijangka akan meningkat pada suku kedua tahun ini susulan strategi yang diambil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai agensi utama dalam proses prapendaftaran.
Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan rakyat Malaysia seawal umur 12 tahun akan didaftarkan secara automatik dalam sistem MyDigital ID. Dengan pendaftaran automatik ia memudahkan rakyat untuk menggunakan MyDigital ID apabila diperlukan.

Selain dari pendaftaran automatik seawal 12 tahun, strategi lain yang akan digunakan adalah pendaftaran automatik ketika penggantian MyKad yang hilang. Menurut beliau, strategi ini telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Identiti Digital Nasional.
MyDigital ID bukan satu kewajipan dari segi undang-undang namun penggunaan sistem ini akan menjadi satu keperluan dalam urusan kerajaan. Selain itu, ia akan turut diperluaskan kepada sektor swasta.