Apple turut memperkenalkan Mac Studio baru, hadir dengan dua pilihan cip iaitu M3 Ultra dan M4 Max. Mac Studio generasi baru ini menawarkan peningkatan prestasi yang lebih berkuasa dari model sebelumnya.

Mac Studio dengan cip M3 Ultra dilengkapi dengan 32 teras CPU, 80 teras GPU 76 dan 32 teras Neural Engine. Menyokong konfigurasi memori sehingga 512GB dan 16TB untuk storan dalaman. Manakala, Mac Studio dengan cip M4 Max pula menggunakan 16 teras CPU, 40 teras GPU dan 16 Neural Engine. Menyokong konfigurasi memori sehingga 128GB dan 8TB storan dalaman.

Mac Studio generasi baru kini hadir dengan Thunderbolt 5 yang menyokong pemindahan data lebih pantas sehingga 120Gb/s iaitu 3 kali lebih laju dari generasi sebelumnya. Selain itu, ia turut menyokong sehingga lapan paparan Pro Display XDR dengan resolusi sehingga 6K.

Dari segi sambungan, ia menyokong pelbagai jenis port seperti HDMI, 2x USB-A, 2x USB-C, bicu audio, 4x Thunderbolt 5, LAN 10GB dan juga pembaca kad memori SDXC. Spesifikasi lain yang turut hadir adalah seperti Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3 dan menyokong Apple Intelligence.

Di Malaysia, Mac Studio baru ini dijual pada harga bermula RM8999 dan mencecah sehingga RM60,924. Walau bagaimanapun, tarikh penjualan untuk pasaran tempatan belum lagi diumumkan, dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.