Android berkemungkinan hadir dengan antara muka baru yang dipanggil sebagai Material 3 Expressive.

Google secara tidak sengaja mendedahkan Material 3 Expressive, merupakan antara muka baru yang lebih interaktif dan lebih ekpresif. Berbeza dari antara muka yang digunakan ketika ini yang minimal dan bersih tetapi membosankan.

Antara muka baru ini dikatakan telah melalui lebih dari 46 kajian yang melibatkan 18,000 peserta secara global. Melalui hasil kajian tersebut, Google akan membina sistem antara muka baru yang lebih menarik secara visual dalam masa yang sama mudah untuk digunakan.

Fokus utama antara muka baru ini adalah untuk menjadikan ia lebih interaktif dan mesra pengguna, tidak hanya tertumpu kepada fungsi asas sahaja. Reka bentuk untuk bahagian penting turut ditambah baik menjadikan ia lebih mudah untuk dilihat dan diakses.
Material 3 Expressive akan turut hadir elemen baru yang lebih segar dengan pilihan warna, saiz dan pergerakkan yang lebih lancar. Google turut mendakwa antara muka baru ini adalah 4 kali ganda lebih pantas berbanding sebelum ini.

Kita mungkin boleh menjangkakan lebih banyak maklumat mengenai Material 3 Expressive akan dikongsi pada acara Google I/O yang akan berlangsung pada 20 dan 21 Mei ini. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.