Close

Tesla Model S dan Model X 2025 diperkenalkan – Rekaan dan jarak gerak dipertingkat

Tesla secara rasmi memperkenalkan versi terkini bagi Model S dan Model X. Kedua-dua model ini hadir dengan pelbagai penambahbaikan dari segi rekaan, kemasan dan juga jarak perjalanan yang lebih jauh.

Untuk rekaan luaran, kedua-dua model kini hadir dengan rekaan yang lebih baik dengan bampar hadapan baru yang lebih sporty dan didatangkan dengan kemasan jenis kesat atau karbon. Tidak ketinggalan, kamera hadapan turut dipertingkat yang setanding Cybertruck dan Model Y. Turut hadir dengan pilihan warna baru iaitu Frost Blue.

Untuk bahagian dalaman, terdapat penambahan elemen lampu ambien pada bahagian pintu, dashboard dan juga konsol tengah. Selain itu, bahagian kabin kini lebih senyap dengan penambahan penebat bunyi yang lebih baik untuk mengurangkan bunyi jalan dan angin. Lampu LED pada bahagian bawah pintu kini boleh ditukar warna berbanding hanya putih sahaja. Model X kini mempunyai ruang kargo yang lebih besar berbanding sebelumnya.

Tesla turut menawarkan rekaan rim baru yang tersedia dalam dua pilihan warna baru iaitu Frost Blue dan Diamond Black. Bahagian suspensi turut ditambah baik untuk pemanduan lebih selesa dan lancar. Dari segi jarak perjalanan, Model S Plaid dan Model X Long Range kini menawarkan jarak gerak lebih jauh. Untuk Model S Plaid, jarak gerak baru adalah 592 km sementara untuk Model X Long Range pula adalah 567 km.

Namun begitu, kelajuan maksimum untuk Model S Plaid diturunkan kepada 240 km/j berbanding 322 km/j. Tiada perubahan dari segi perkakasan masih menggunakan Hardware 4 (HW4) untuk Full Self-Driving (FSD) dan cip AMD Ryzen (MCU3) untuk sistem infotainmen.

Di Amerika Syarikat, Tesla Model S dan Model X kini tersedia untuk di pra-tempah dengan penghantarannya akan bermula sekitar 2 hingga 4 minggu. Tidak dapat dipastikan adakah model ini akan turut ditawarkan untuk pasaran Malaysia atau sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN