Meta dan Oakley bakal memperkenalkan generasi baru cermin mata pintar yang dijadualkan akan berlangsung pada 20 Jun 2025. Oakley akan menjadi pengeluar seterusnya yang akan menawarkan cermin mata pintar Meta selepas Ray-Ban.
Kedua-dua jenama telahpun memulakan teaser awal berkenaan peranti tersebut dengan menyatakan ‘The next evolution is coming’. Oakley Meta dikatakan berbeza dari apa yang ditawarkan oleh Ray-Ban Meta yang sesuai dengan gaya kasual.

Oakley Meta dikatakan lebih sesuai untuk atlet dan juga pengguna aktif. Menggunakan asas rekaan dari model Oakley Sphaera, yang popular dalam kalangan penunggang basikal dan atlet profesional. Tiada sokongan skrin dan menawarkan ciri kamera dan fungsi AI yang sama seperti Ray-Ban Meta.
Perubahan ketara yang mungkin akan dibuat adalah posisi kamera diubah pada bahagian tengah bingkai berbanding di bahagian sisi pada Ray-Ban Meta. Perubahan ini untuk memberikan sudut rakaman yang lebih baik dan sesuai untuk aktiviti sukan seperti berbasikal.
Buat masa ini tiada maklumat mengenai harga jualan dan penawarannya. Namun begitu, terdapat laporan mendedahkan harga jualan mungkin sama seperti Ray-Ban Meta iaitu sekitar $299 (RM1400).