Sony secara rasmi telah memfailkan saman terhadap syarikat teknologi dari China iaitu Tencent.
Sony mendakwa Tencent telah menciplak harta intelek (IP) francais permainan video mereka iaitu siri Horizon. Permainan Light of Motiram yang dihasilkan oleh Tencent dikatakan mirip seperti permainan Horizon Zero Dawn dan Horizon Lego Adventures yang dimiliki oleh Sony.

Berdasarkan dari saman yang difailkan, Sony menyatakan permainan Light of Motiram bukan sahaja berkongsi gaya permainan, latar dunia dan elemen manusia bersaing dengan mesin, tetapi juga turut meniru hampir semua mekanik permainan. Satu-satunya ciri unik yang dibawa Tencent adalah sokongan multiplayer.


Sony turut mendedahkan Tencent pernah mencuba untuk mendapatkan lesen rasmi dari mereka bagi membangunkan permainan berinspirasikan Horizon namun permintaan tersebut tidak dipersetujui oleh Sony.
Sejak permainan Light of Motiram diperkenalkan pada November tahun lalu. Ia menerima pelbagai reaksi dari peminat permainan video yang mempersoalkan persamaan ketara antara permainan tersebut dan siri Horizon yang dimiliki oleh Sony.