Close

Samsung Galaxy S25 FE dan siri Galaxy Tab 11 kini boleh dibeli di Malaysia

Samsung Malaysia mengumumkan, dua produk baru mereka iaitu Galaxy S25 FE dan siri Galaxy Tab S11 kini tersedia untuk pasaran tempatan.

Untuk Galaxy S25 FE, ia hadir dengan skrin Dynamic AMOLED X2 bersaiz 6.7-inci dengan resolusi FHD+. Turut menyokong paparan 120Hz dan kecerahan puncak 1900 nits. Dijana dengan cip Exynos 2400 yang dipadankan dengan 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB.

Galaxy S25 FE turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi Galaxy AI yang sama seperti pada siri Galaxy S25.  Antara fungsi Galaxy AI yang tersedia adalah seperti generative edit, audio eraser, photo assist, instant slow-mo dan lain-lain. Menjalankan sistem operasi One UI 8 berasaskan Android 16, Samsung turut menjanjikan kemas kini sehingga 7 tahun untuk Android dan keselamatan.

Siri Galaxy Tab 11 ditawarkan dalam dua pilihan model iaitu Galaxy Tab 11 dan Galaxy Tab 11 Ultra. Untuk Galaxy Tab 11, ia hadir dengan skrin bersaiz 11-inci dengan rekaan yang nipis dan ringan. Manakala, Galaxy Tab S11 Ultra pula menggunakan skrin yang lebih besar iaitu 14.6-inci dan menawarkan prestasi yang lebih baik dengan kapasiti bateri lebih besar.

Kedua-dua peranti dikuasakan dengan cip MediaTek Dimensity 9400+ dan menyokong S Pen baru dengan keupayaan Quick Tools. Peranti ini turut menyokong pelbagai ciri Galaxy AI yang membantu meningkatkan produktiviti dan kreativiti.

Untuk harga jualan, Galaxy S25 FE dijual pada harga bermula RM3099 sementara siri Galaxy Tab 11 dijual pada harga bermula RM3899. Sempena ketibaannya, Samsung turut menawarkan pelbagai promosi menarik dari 19 September hingga 19 Oktober 2025. Antara promosi yang ditawarkan adalah rebat sehingga RM850 untuk pembelian Galaxy S25 FE, rebat tambahan RM600 untuk naik taraf storan dan e-voucher bernilai RM250.

ARTIKEL BERKAITAN