Apple memperkenalkan model baru iaitu ‘Air’ bagi menggantikan model ‘Plus’. Penggunaan nama ‘Air’ dikatakan sebagai salah satu cara menjadikan ia lebih popular berbanding menggunakan nama mini atau Plus. Selain itu, penggunaan nama Air telahpun digunakan pada beberapa produk Apple sebagai contoh iPad Air, MacBook Air dan lain-lain.
Tiga perkara menarik
Rekaan

iPhone Air merupakan iPhone paling nipis yang pernah dihasilkan oleh Apple. Sebagai perbandingan, iPhone paling nipis yang pernah diperkenalkan oleh Apple ada iPhone 6 dengan ketebalan 6.9mm.


Apple berjaya menjadikan iPhone Air hanya setebal 5.6mm dan berat hanya sekitar 165 gram sahaja. Pengguna boleh merasakan yang peranti ini sememangnya nipis dan juga ringan. Untuk menjadikan model ini lebih premium, Apple menggunakan bahan binaan Titanium Grade 5. Dengan menggunakan binaan Titanium, iPhone Air bukan sahaja premium tetapi lebih lasak dan juga kukuh.
Skrin

iPhone Air hadir dengan skrin yang imersif bersaiz 6.5-inci dengan Super Retina XDR. Kemampuan skrin peranti ini mungkin boleh dikatakan setanding dengan model Pro yang menyokong ProMotion 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 3000 nits.
Selain itu, skrin peranti ini dilindungi dengan Ceramic Shield 2 untuk memberikan ketahanan yang lebih baik. Tidak ketinggalan, skrin peranti ini turut mempunyai lapisan anti-pantulan untuk memberikan pengalaman menonton yang lebih jelas dan imersif.
Prestasi

Apple tidak menggunakan cip A19 pada iPhone Air, sebaliknya menggunakan cip A19 Pro yang sama seperti pada model 17 Pro. Cip ini dihasilkan dengan teknologi binaan 3nm generasi baru dari TSMC iaitu 3NP yang menawarkan prestasi lebih pantas dan kecekapan tenaga lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Cip ini kekal menggunakan konfigurasi CPU 6 teras dengan NPU 16 teras. Perbezaan ketara antara cip A19 dan A19 Pro adalah pada teras GPU, untuk cip A19 ia menggunakan GPU 5 teras sementara A19 Pro pula mempunyai GPU 6 teras.
Tiga perkara kurang menarik
Mono speaker

Seperti namanya, iPhone Air lebih memfokuskan kepada rekaan yang lebih nipis dan ringan. Berikutan rekaannya yang nipis, peranti ini tidak dimuatkan dengan stereo speaker sebaliknya menggunakan mono speaker, yang terletak di bahagian atas.

Mono speaker tidak menawarkan pengalaman audio yang imersif seperti mana yang ditawarkan oleh Stereo speaker. Untuk mendapatkan pengalaman audio yang lebih baik perlu menggunakan AirPods atau external speaker.
Kamera

Untuk tahun 2025, Apple hanya menyertakan satu kamera belakang sahaja pada iPhone Air dengan sensor 48MP. Dengan hanya satu kamera belakang, iPhone Air tidak menawarkan kemampuan kamera yang serba boleh berbanding siri iPhone 17.

Perkara tersebut mungkin disebabkan oleh rekaan yang nipis menyebabkan ruang komponen menjadi terhad menyukarkan Apple untuk memuatkan kamera kedua pada model iPhone Air.
Harga

Walaupun iPhone Air memfokuskan kepada rekaan yang nipis dan ringan, namun harga jualannya tidak sama seperti namanya. Di Malaysia, iPhone Air dijual pada harga bermula RM4999 dan mencecah sehingga RM6999 untuk varian paling tinggi.

Harga jualan iPhone Air boleh dikatakan agak tinggi atau sama seperti harga jualan untuk peranti andalan Android. Bezanya, peranti andalan Android ditawarkan dengan pakej yang lebih menarik berbanding iPhone Air.