Close

Subsidi RON95 RM1.99 akan dilaksanakan bermula 30 September 2025

Kerajaan akan mula melaksanakan sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada 30 September 2025.

BUDI95 tersedia untuk semua warganegara Malaysia tanpa mengira pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif layak menerima RON95 bersubsidi sehingga 300 liter secara automatik. Pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan.

Selain itu, BUDI95 tidak memerlukan sebarang pendaftaran namun memerlukan pengesahan MyKad untuk urusan pembelian melalui terminal pam atau kaunter stesen minyak. Terdapat juga alternatif lain untuk pembelian iaitu melalui digital e-dompet TNG atau aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo.

Perlaksanaan program BUDI95 ini akan dilakukan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem. Berikutan itu, program ini akan dibuka lebih awal pada 27 September 2025 untuk 300 ribu anggota polis dan tentera dan 28 September 2025 untuk penerima Sumbangan Tunai Ramah (STR).

Bermula 30 September 2025, program BUDI95 ini boleh dinikmati dan dibuka untuk semua warganegara Malaysia. Seiring dengan itu, kerajaan menasihatkan rakyat untuk memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan BUDI95. Maklumat lebih lanjut berhubung BUDI96 akan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dari masa ke semasa.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN