DJI Malaysia secara rasmi melancarkan dron generasi baru iaitu Mini 5 Pro, pengganti kepada model sebelumnya. Hadir dengan sejumlah peningkatan spesifikasi yang lebih baik, keupayaan sensor yang lebih maju dan ciri keselamatan.

DJI Mini 5 Pro hadir dengan kamera yang lebih besar iaitu 50MP dengan sensor 1-inci berbanding model sebelumnya. Sensor kamera ini menyokong lensa 48mm med-tele dengan rakaman 10-bit D-Log M. Bukan itu sahaja, ia turut mampu merakam video pada resolusi 4K HDR pada 60fps dan 4K pada 120fps untuk slow-motion.

Gimbal yang digunakan pada kamera ini mampu berputar sehingga 225°, membolehkan ia merakaman video dengan gaya yang lebih kreatif melalui mod QuickShot, Timelapse, Spotlight dan Waypoint Flight. Terdapat juga mod True Vertical Shooting yang membolehkan pengguna merakam video menegak untuk kandungan Shorts, Stories dan TikTok.

DJI turut menambah baik fungsi ActiveTrack 360° dengan mod khas untuk berbasikal, di samping penambahbaikan dalam mod potret. Untuk ciri keselamatan, Mini 5 Pro kini dilengkapi denga sistem LiDAR yang mampu mengelak halangan dengan lebih berkesan terutama pada keadaan kurang cahaya.

Dron ini turut mempunyai kebolehan untuk mengingati laluan penerbangan dan pulang walaupun kehilangan isyarat GPS. DJI menyatakan yang Mini 5 Pro mampu terbang selama 36 minit atau 52 minit dengan Flight Battery Plus.
Untuk pasaran Malaysia, DJI Mini 5 Pro dijual pada harga bermula RM3399 dan mencecah sehingga RM4899. Bagi yang berminat, dron ini boleh didapati di semua pengedar rasmi DJI Malaysia.