Proton kini membuka pra-tempahan untuk kenderaan elektrik (EV) baru mereka iaitu e.MAS 5, ditawarkan dalam 2 pilihan varian iaitu Prime dan Premium.
Proton e.MAS 5 akan ditawarkan pada harga mampu milik iaitu antara RM60,000 hingga RM80,000, menjadikan ia kenderaan elektrik paling rendah yang ada di pasaran ketika ini. Model ini hadir dengan rekaan yang kompak yang sesuai untuk pemanduan bandar.

Untuk Proton e.MAS Premium, ia hadir dengan bateri CATL LFP 40.16 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 325km (WLTP). Menyokong pengecasan pantas DC 71 kW yang mampu mengecas dari 30% hingga 80% dalam masa 21 minit. Selain itu, ia mampu memecut dari 0 ke 50 km/j hanya dalam 3.9 saat dengan tork 15 Nm.

Manakala untuk Proton e.MAS Prime, ia dimuatkan dengan bateri CATL LFP 30.12 kWh yang menawarkan jarak gerak sekitar 225 km (WLTP). Turut menyokong pengecasan pantas DC 71 kW yang mampu mengecas dari 30% hingga 80% dalam masa 21 minit.

Proton e.MAS 5 turut dilengkapi dengan skrin inforia bersaiz 14.6-inci dengan resolusi FHD menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, EV ini hadir dengan sistem keselamatan ADAS Tahap 2, ruang bonet 375L , powered tailgate dan lain-lain.

Bagi yang berminat, Proton e.MAS 5 boleh dipra-tempah dengan bayaran RM99 namun terhad kepada 5000 pelanggan pertama. Selain itu, 5000 tempahan terawal akan menerima kad Touch ’n Go NFC edisi terhad bernilai RM100 dan rebat tambahan RM500. Tempahan boleh dibuat di 42 pengedar Proton e.MAS seluruh negara atau melalui laman rasmi emas.proton.com.