realme secara rasmi mengesahkan ketibaan peranti baru mereka iaitu realme GT8 pada 21 Oktober ini di China.

Seiring dengan ketibaannya, realme telahpun berkongsi beberapa maklumat mengenai peranti ini. realme GT 8 akan dikuasakan dengan cip terbaru dari Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan dimuatkan dengan kapasiti bateri lebih besar iaitu 7000mAh.

Selain itu, peranti ini akan menggunakan rekaan jenis berkotak bukan lagi jenis melengkung seperti model sebelumnya. realme GT 8 akan turut menggunakan rekaan modul kamera baru yang boleh ditukar, diganti dan diubahsuai.
realme GT 8 akan menjadi peranti pertama yang akan menggunakan teknologi pengimejan dari Ricoh. Melaluinya, Ricoh akan membawakan pengalaman kamera siri Ricoh GR dengan antara muka khas, filter tersuai dan tona imej.
Lebih menarik, realme Malaysia telah mengesahkan peranti ini akan turut tiba ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Sekaligus, menjadikan ia peranti pertama di Malaysia yang dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5.