HUAWEI telahpun melancarkan generasi kedua jam pintar premium mereka iaitu Watch Ultimate 2. Seperti namanya, jam pintar ini hadir dengan rekaan yang mewah dalam masa yang sama memfokuskan kepada ciri yang lebih ekstrem berbanding generasi sebelumnya.
Rekaan

Watch Ultimate 2 tampil dengan reka bentuk lebih menonjol dan premium dengan dua pilihan warna iaitu hitam dan biru. Menggunakan rekaan berbentuk bulat, namun dengan penambahan rangka berbentuk oktagon dengan bezel seramik untuk memberi rupa yang lebih lasak dan eksklusif. Jam pintar ini juga boleh dikatakan agak ringan dengan berat sekitar 81 gram tanpa tali.
Menggunakan bahan binaan Zirconium Liquid Metal untuk ketahanan yang lebih baik dan skrin dilindungi sapphire glass. Dilengkapi skrin AMOLED LTPO 2.0 berukuran 1.5 inci dengan resolusi 466 x 466 dan kecerahan puncak sehingga 3500 nits, menjadikannya mudah dilihat walaupun dalam cahaya matahari terik atau ketika berada di dalam air.

Dengan rekaan yang mewah dan elegan, Watch Ultimate 2 bukan sahaja “kemas” untuk penggunaan harian malah sesuai untuk pelbagai aktiviti lasak seperti menyelam, pendakian dan sebagainya.
Binaan

Tidak dinafikan, Watch Ultimate 2 sememangnya direka khas untuk aktiviti lasak yang sangat sesuai untuk outdoor atau sukan ekstrem. Untuk menjadikan jam pintar ini tahan lasak, HUAWEI menggunakan pelbagi bahan binaan seperti zirconium-based liquid metal, sapphire glass, aerospace-grade titanium, dan juga nano-crystal ceramic.

Rangka atau badan jam pintar ini menggunakan zirconium-based liquid metal yang menjanjikan ketahanan sekitar 8.7x lebih tahan karat dan 3x lebih keras berbanding stainless steel. Dengan menggunakan bahan binaan yang tahan lasak, jam pintar ini mampu bertahan pada kedalaman 150 meter, menjadikan ia jam pintar paling lasak dalam kelasnya.

Menariknya, terdapat ciri sonar yang membolehkan dua jam Watch Ultimate 2 berkomunikasi melalui mesej pendek dan SOS sehingga 30 meter. Sebagai tambahan, jam pintar ini juga menyokong penarafan IP68 + IP69 dan mempunyai piawaian ISO 22810, ISO 6425 dan EN 13319.
Kesihatan dan Kecergasan

HUAWEI Watch Ultimate 2 menjalankan sistem operasi HarmonyOS yang terbaru dengan antara muka yang lebih kemas dan prestasi lebih stabil. Dari segi kesihatan dan kecergasan, jam pintar ini dimuatkan dengan sistem TruSense dan Distributed Super-Sensing Module, nadi utama untuk mengukur tahap kesihatan atau kecergasan.

Terdapat pelbagai sensor lain seperti ECG, SpO₂, degupan jantung dan suhu badan yang membantu meningkatkan ketepatan bacaan. Bukan itu sahaja, HUAWEI turut membawakan sensor X-TAP yang berasaskan jari, menawarkan bacaan lebih pantas dan stabil.

HUAWEI turut membawakan fungsi Health Glance yang menggabungkan sehingga 11 indikator kesihatan dalam satu laporan ringkas. Untuk menjadikan ia lebih lengkap, terdapat juga ciri lain seperti pemantauan emosi, pernafasan, tidur, fall detection, sistem pembayaran dan akses kepada AppGallery versi jam.
Bateri

HUAWEI Watch Ultimate 2 hadir dengan ketahanan bateri yang mengagumkan untuk sebuah jam pintar. Menurut HUAWEI, jam ini mampu bertahan sehingga 4.5 hari untuk penggunaan standard dan meningkat sehingga 11 hari untuk pengguna yang lebih ringan.
Untuk mendapat ketahanan bateri yang baik, HUAWEI menggunakan sistem dual battery management, membolehkan pengguna bertukar antara mod prestasi penuh dan mod jimat kuasa tanpa kehilangan ciri utama seperti eSIM, GPS, dan pemantauan kesihatan asas.

Dari segi pengecasan pula, ia menyokong pengecasan pantas yang mengambil masa kurang dari 60 minit untuk pengecasan penuh. Sekaligus, menjadikan ia peranti dengan pengecasan terpantas dalam kategori jam pintar premium.