Samsung Galaxy Z Flip8 mungkin akan dilengkapi dengan cip terbaru dari Samsung iaitu Exynos 2600.

Menurut maklumat, cip Exynos 2600 akan dimuatkan pada fon lipat generasi seterusnya iaitu Galaxy Z Flip8, dijangka akan diperkenalkan pada pertengahan tahun depan. Sekiranya laporan ini tepat, Samsung nampaknya menggunakan pendekatan yang sama seperti Galaxy Z Flip7 yang merupakan fon lipat pertama dari Samsung yang menggunakan cip Exynos secara global.

Cip Exynos 2600 dibina menggunakan teknologi Samsung Foundry 2nm GAA (Gate-All-Around) dan menggunakan konfigurasi 10 teras dengan seni bina Arm v9.3. Menurut Samsung, cip ini menawarkan peningkatan prestasi sehingga 39% dengan kecekapan tenaga lebih baik berbanding cip Exynos 2500.
Dimuatkan dengan GPU Xclipse 960 yang menjanjikan peningkatan prestasi ray tracing sehingga 50% serta prestasi pengkomputeran dua kali ganda lebih baik berbanding generasi sebelumnnya. Cip ini turut menyokong teknologi Heat Path Block (HPB) yang direka untuk menyalurkan haba dengan lebih cekap.