Samsung mengumumkan ciri keselamatan baru menerusi sistem operasi One UI 9 yang berasaskan kepada Android 17.
Melalui ciri keselamatan baru ini, peranti akan dikunci secara kekal sekiranya pengguna gagal memasukkan PIN, kata laluan atau corak (pattern) yang betul sebanyak 13 kali. Satu-satunya cara untuk menggunakan semula peranti adalah dengan melakukan factory reset, yang akan memadamkan semua data.

Walau bagaimanapun, pengguna masih diberikan beberapa peluang untuk mencuba membuka kunci peranti dengan tempoh menunggu sementara akan dikenakan pada percubaan kelima. Tempoh tersebut akan meningkat pada percubaan yang seterusnya.
Ciri ini bertujuan untuk mengukuhkan perlindungan terhadap akses tanpa kebenaran. Selain itu, perubahan ini diperkenalkan bagi menghalang serangan brute force, iaitu teknik yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk meneka PIN atau kata laluan berulang kali sehingga berjaya.
Buat masa ini, ciri ini hanya tersedia untuk peranti yang menjalankan sistem operasi One UI 9, termasuk Galaxy Z Fold8, Galaxy Z Fold8 Ultra dan Galaxy Z Flip8. Tidak dapat dipastikan adakah ciri ini akan diperluaskan kepada model terdahulu atau sebaliknya.