Sub-jenama Nothing iaitu CMF secara rasmi memperkenalkan Clip Pro, merupakan produk Open Wearable Stereo (OWS) pertama dari syarikat itu.

Clip Pro menggunakan 3-point design, yang direka untuk mengagihkan tekanan secara lebih sekata pada telinga bagi meningkatkan keselesaan ketika dipakai dalam tempoh yang panjang. Ia turut dilengkapi dengan dawai titanium elastik pada bahagian C-bridge membolehkan ia disesuaikan mengikut pelbagai bentuk telinga.

TWS ini hanya seberat 5.9 gram setiap satu dan menyokong penarafan IP54, menjadikan ia sesuai untuk kegunaan harian atau aktiviti bersukan. CMF Clip Pro dimuatkan dengan pemacu dinamik dwi-magnet bersaiz 10.8mm yang turut dilengkapi dengan teknologi Ultra Bass Technology.

Selain itu, Clip Pro dilengkapi dengan Hi-Res Audio dan menyokong codec LDAC, AAC dan SBC. Untuk panggilan suara, Clip Pro dimuatkan dengan empat mikrofon HD bersama Clear Voice Technology, yang menggunakan pemprosesan pengasingan suara untuk mengurangkan bunyi persekitaran ketika membuat panggilan. CMF turut menyertakan sistem Sound Seal bagi mengurangkan kebocoran bunyi daripada rekaan open-ear.

Bekas pengecas peranti ini turut dimuatkan dengan ciri Smart Dial, yang boleh digunakan untuk melaraskan kelantangan, mengawal muzik dan menjawab panggilan. Berbeza dengan kebanyakkan model tws yang menggunakan kawalan sentuh, Clip Pro hadir dengan butang fizikal untuk memastikan kawalan yang lebih tepat.
Untuk spesifikasi lain, peranti ini menyokong Bluetooth 5.4, Dual Device Connection, Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair. Dari segi ketahanan bateri, Clip Pro mampu bertahan sehingga 10 jam dengan sekali cas dan meningkat kepada 32.5 jam dengan bekas pengecas.

CMF Clip Pro ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Dark Grey, Light Grey dan Coral. Di Amerika Syarikat, Clip Pro dijual pada harga sekitar $100 ( RM409). Peranti ini dijangka akan turut ditawarkan di Malaysia tidak lama lagi.