Close

Siri HUAWEI Watch GT 7 kini rasmi di Malaysia dengan harga bermula RM1199

HUAWEI Watch GT 7 dan Watch GT 7 Pro secara rasmi tiba ke pasaran tempatan, kedua-dua model ini tampil dengan beberapa peningkatan yang lebih baik merangkumi spesifikasi, ciri kecergasan dan kesihatan yang lebih lengkap.

HUAWEI Watch GT 7 Pro ditawarkan dalam satu pilihan saiz sahaja iaitu 46mm dan tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Green, Black dan juga Yellow. Menggunakan skrin AMOLED bersaiz 1.47-inci dengan resolusi 466 x 466 dan kecerahan puncak sehingga 3000 nit.

Jam tangan pintar ini menggunakan binaan seramik nano pada bahagian skrin dan aloi titanium gred aeroangkasa serta kaca nilam pada bahagian bingkai. Dari segi pemantauan kesihatan, Watch GT 7 Pro dilengkapi sensor untuk mengukur kadar denyutan jantung dan suhu kulit. Ia turut menawarkan ciri seperti pemantauan tidur, kesihatan wanita, Emotional Wellbeing 2.0 serta ringkasan kesihatan pada waktu pagi melalui aplikasi Huawei Health.

Jam tangan pintar ini menyokong lebih dari 110 mod sukan termasuk ski, berbasikal, larian denai dan golf dengan sistem Sunflower Positioning bersama AI-XDR bagi memastikan ketepatan GPS yang lebih baik. Dari segi ketahanan, peranti ini menyokong penarafan 5 ATM/IP69 yang membolehkan ia digunakan untuk aktiviti menyelam sehingga kedalaman 40 meter.

HUAWEI mendakwa, peranti ini mampu bertahan sehingga 21 hari untuk penggunaan ringan, 12 hari untuk penggunaan biasa, 7 hari untuk penggunaan dengan AOD dan 51 jam dalam mod larian denai.

Manakala untuk HUAWEI Watch GT 7, ia tersedia dalam dua pilihan saiz iaitu 41mm dan juga 46mm. Untuk saiz 41mm, ia menggunakan skrin 1.32-inci sementara untuk saiz 46mm menggunakan skrin 1.47-inci. Kedua-duanya menggunakan skrin AMOLED dengan resolusi 466 x 466 piksel serta kecerahan maksimum sehingga 3,000 nits.

Dari segi pemantauan kesihatan, ia menawarkan ciri seperti TruSleep 5.0, pemantauan HRV, emosi, kesihatan wanita, jantung, gula dalam darah serta altitud tinggi. yang hampir sama seperti pada model Pro. Namun begitu, model ini tidak menyokong fungsi seperti ECG dan Arterial Stiffness Assessment.

Untuk perlindungan, ia menyokong penarafan 5 ATM dan juga IP68. Dari segi ketahanan bateri, untuk saiz 46mm mempunyai ketahanan bateri sehingga 21 hari untuk penggunaan ringan atau 51 jam dalam mod larian denai. Manakala untuk saiz 41mm, menawarkan ketahana bateri sehingga 14 hari untuk penggunaan ringan atau 32 jam dalam mod sama.

Untuk pasaran tempatan, HUAWEI Watch GT 7 ditawarkan pada harga RM1199. Manakala untuk Watch GT 7 Pro ia ditawarkan pada harga RM1499. Seiring dengan ketibaan, peranti ini ditawarkan dengan diskaun RM100 menjadikan harga jualan RM1099 dan RM1399. Lebih menarik, setiap pembelian akan menerima hadiah percuma bernilai RM713.

ARTIKEL BERKAITAN