Xiaomi Malaysia kini memperluaskan ekosistem rumah pintar mereka dengan memperkenalkan Mijia Front Load Washer Dryer, merupakan sebuah mesin basuh pintar dengan sokongan pengering 2-dalam-1 yang direka untuk memudahkan urusan harian keluarga.
Rekaan

Mesin basuh pintar ini ditawarkan dalam pilihan warna Silver Gray yang cukup elegan dan sesuai untuk diletakkan pada sudut laundry rumah. Direka dengan kapasiti cucian sehingga 10.5 kg dan fungsi pengeringan 7.0 kg dengan kelajuan putaran 1200rpm yang sangat ideal untuk keperluan harian keluarga.

Mesin basuh pintar ini hanya seberat 62kg dengan dimensi 598 x 570 x 850mm, menjadikannya ia sesuai untuk diletakkan pada ruang kecil seperti balkoni kondominium. Hadir dengan dram bersaiz 525mm yang menggunakan teknologi sistem Power Wash Xiaomi. Sistem ini direka untuk meniru pergerakan mencuci menggunakan tangan bagi membantu membersihkan pakaian dengan lebih menyeluruh, selain mengurangkan penggunaan air dan risiko pakaian berbelit.
Rekaan estetik ini turut diperkemaskan lagi dengan panel kawalan sentuh berwarna (colourful touch panel) yang moden serta mudah untuk dikendalikan.
32 program cucian

Mesin basuh pintar ini menyokong sehingga 32 program cucian yang boleh dipilih mengikut jenis pakaian atau fabrik dan keperluan pengguna. Antara program yang tersedia seperti Quick Wash & Dry selama 59 minit, mod Refresh berasaskan wap untuk menyegarkan pakaian dan banyak lagi.
Lebih menarik, mesin basuh pintar ini boleh disambungkan terus ke peranti melalui aplikasi Xiaomi Home. Melaluinya, pengguna boleh mengawal dan memantau status cucian secara terus dari telefon pintar. Mesin ini juga mempunyai fungsi untuk mengesan jumlah muatan secara automatik bagi membantu mengoptimumkan penggunaan air dan tenaga ketika mencuci serta mengeringkan pakaian.
Hygiene Care

Xiaomi Washer Dryer turut hadir dengan fungsi Hygiene Steam Cleaning, wap bersuhu tinggi yang direka untuk membasmi kuman secara mendalam tanpa merosakkan fabrik. Menurut Xiaomi, fungsi ini mampu menghapuskan sehingga 99.99% bakteria dan virus serta menanggalkan 100% pijat (mites).
Fungsi ini amat sesuai untuk pakaian bayi, pakaian dalam, atau pengguna yang mempunyai masalah kulit sensitif dan alahan. Untuk menggunakan fungsi ini, pengguna hanya perlu menekan butang khas Steam yang disediakan untuk mengaktifkan fungsi pensterilan ini dalam mana-mana mod basuhan.
Fungsi penjagaan fabrik

Selain cuci dan kering biasa, Xiaomi Washer Dryer ini turut dimuatkan dengan beberapa ciri tambahan untuk penjagaan fabrik. Antara ciri yang ditawarkan seperti aromatherapy wash, refresh care dan juga refresh & loosen. Untuk aromatherapy wash, ia menggunakan wap suam bersama bau wangi yang akan meresap ke dalam fabrik, mengeluarkan bau harum dan segar sepanjang hari.
Manakala untuk refresh care, ia menggunakan wap panas khas untuk membersihkan debu-debu halus serta menghilangkan bau tanpa perlu melakukan cucian penuh. Akhir sekali adalah refresh & loosen, ciri ini boleh dikatakan cukup menarik yang mana mesin secara automatik akan berpusing sekiranya baju yang sudah selesai dibasuh tidak dikeluarkan dalam tempoh 30 minit. Ciri ini menjadikan baju kekal segar dan tidak berbau walaupun tidak dikeluarkan dari mesin.