Capaian rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Malaysia kini telah mencapai 76.1% setakat November 2023. Kerajaan sebelum ini, menyasarkan 80% capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun 2023.
Sasaran tersebut dilihat akan dapat dicapai tidak lama lagi memandangkan ia hanya berbaki 4% untuk mencapai 80% liputan 5G. Selepas mencapai sasaran, kerajaan dijangka akan memutuskan untuk mewujudkan rangkaian 5G yang kedua pada masa akan datang.
Dalam masa yang sama, kerajaan merancang untuk melanjutkan Pakej 5G Rahmah sehingga Mac 2024 dan perkara tersebut akan diputuskan oleh Suruhjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Setakat Oktober, Pakej 5G Rahmah masih mempunyai baki 50% yang belum lagi dibeli daripada 100,000 peranti yang disediakan untuk golongan B40.
Selain itu, Digital Nasional Berhad (DNB) akan menerima suntikan dana bernilai RM233 juta dari kelima-lima syarikat telekomunikasi melalui Perjanjian Langganan Saham yang telah ditanda tangani pada awal Disember lalu.