Apple secara rasmi mengumumkan sistem operasi mereka seterusnya iaitu iOS 26. Hadir dengan pelbagai peningkatan merangkumi antara muka baru, ciri yang ditambah baik, aplikasi baru dan sokongan Apple Intelligence yang lebih pintar.

Liquid Glass


iOS 26 hadir dengan antara muka baru yang lebih menonjol yang dipanggil sebagai Liquid Glass. Seperti namanya, antara muka baru ini mengguna elemen lutsinar bersama dengan animasi yang lebih dinamik.

Perubahan antara muka baru ini merangkumi lock screen dan home screen. Untuk lock screen, jam atau masa akan mempunyai kesan melengkung yang akan disesuaikan berdasarkan kepada imej. Pada home screen pula, ikon dan widget akan disesuaikan dengan elemen lutsinar.

Bukan itu sahaja, aplikasi seperti Photos, Camera dan Safari turut menyokong elemen lutsinar. Semua aplikasi ini direka semula menjadi lebih ringkas dan akan memberi tumpuan kepada kandungan. Bahagian tab akan mengecil apabila pengguna menatal ke bawah dan akan mengembang apabila menatal ke atas.
Apple Intelligence

Apple turut mengumumkan beberapa penambahbaikan pada kecerdasan buatan mereka iaitu Apple Intelligence. Melaluinya, ia kini menyokong ciri live translation secara masa nyata untuk teks dan juga suara. Ciri ini boleh digunakan pada face time, mesej dan juga panggilan telefon.


Visual intelligence turut ditambah baik dengan menyokong carian berdasarkan apa yang dipaparkan pada skrin dan memberikan cadangan untuk tindakan seterusnya. Sebagai contoh, pengguna boleh menambah acara secara terus ke kalender berdasarkan mesej atau mencari produk yang serupa di web berdasarkan imej.

Selain itu, genmoji dan image playground kini boleh menjana emoji dan juga gambar dengan ekspresif melalui gabungan teks. Terdapat juga ciri intelligent shortcuts, yang memberikan cadangan dan tindakan secara automatik seperti membalas e-mel atau membuat senarai beli-belah.
Camera


Aplikasi kamera turut menerima rekaan baru yang lebih minimalis dan juga lebih menarik. Selain itu, rekaan baru ini lebih memfokuskan kepada fungsi dan mempunyai susun atur yang lebih mudah untuk diakses dengan hanya menggunakan satu tangan. Aplikasi ini turut mempunyai elemen lutsinar dengan animasi yang lebih dinamik.
Phone

Aplikasi phone kini hadir dengan pelbagai peningkatan antara seperti unified layout, call screening dan hold assist. Untuk susun atur baru, semua kategori seperti favorites, recents dan voicemail kini dimuatkan dalam satu tempat yang lebih mudah untuk dilihat.


Call screening menapis panggilan yang tidak dikenali sementara hold assist akan memberitahu pengguna jika ejen atau perunding sebenar sedia untuk bercakap.
Message


Aplikasi message turut menyokong message screening, tapis mesej yang diterima atau dihantar oleh pengguna tidak dikenali. Selain itu, aplikasi message kini boleh melakukan undian, ubah suai latar belakang menjadi lebih menarik dan menghantar Apple Cash. Terdapat juga indikator menaip akan dipaparkan pada kumpulan sembang.
Apple Music, Maps dan Wallet

Aplikasi Apple Music, Maps dan Wallet turut menerima ciri baru untuk memberikan pengalaman penggunaan lebih baik. Untuk Apple Music, ia kini menyokong lyrics translation, pronunciation, auto mix dan music pins. Maps kini membolehkan pengguna kini boleh menjejaki tempat yang pernah dilewati melalui ciri visited places.


Untuk Wallet, pengguna kini boleh melakukan bayaran secara ansuran dan menggunakan ganjaran di Apple Pay. Terdapat juga live boarding passes yang akan memaparkan status penerbangan dalam masa nyata.
CarPlay

Aplikasi CarPlay turut hadir dengan antara muka baru yang lebih kompak dan juga lebih interaktif. Antara muka baru ini akan memuatkan pelbagai informasi dengan lebih baik dan tersusun. Selain itu, CarPlay baru ini turut menyokong widget dan live activities.

Selain itu, Apple turut berkongsi mengenai Apple CarPlay Ultra. Sistem inforia generasi baru yang menawarkan intregrasi yang lebih baik dan mendalam antara iPhone dan juga sistem hiburan kenderaan.
CarPlay Ultra membawakan pengalaman yang lebih baik, pintar dan konsisten untuk pemanduan. Sistem inforia generasi baru ini akan memaparkan kandungan peta, muzik, widget dan mesej secara langsung ke paparan pemandu termasuklah kluster instrumen merangkumi RPM, suhu, terkenan tayar dan meter kelajuan.
Apple Games

Apple memperkenalkan aplikasi baru yang memfokuskan kepada permainan iaitu Apple Games. Aplikasi ini akan menempatkan semua permainan yang ditawarkan oleh Apple termasuklah Apple Arcade.


Aplikasi ini memudahkan pengguna untuk mengetahui pelbagai perkara mengenai permainan seperti kemas kini terbaru permainan, acara dan juga melihat skor pengguna lain.

Seiring dengan pengumuman ini, Apple telahpun melepaskan iOS 26 versi Developer Beta 1 khas untuk pembangun. Versi beta untuk pengguna dijangka akan tiba sekitar Julai dan versi stabil dijangka akan tiba sekitar September atau Oktober ini.