DJI Malaysia membawakan kamera aksi bersaiz mini yang dikenali sebagai Osmo Nano dengan berat hanya sekitar 52 gram sahaja. Walaupun hadir dengan saiz yang kecil, namun ia hadir dengan pelbagai ciri rakaman yang menarik.

DJI Osmo Nano dilengkapi dengan sensor CMOS 1/1.30-inci yang dipadankan dengan lensa ultra lebar 143°. Mampu merakam video sehingga resolusi 4K 120fps dengan 10-bit color depth dan D-Log M untuk memberi fleksibiliti dalam suntingan. Turut menyokong mod SuperNight untuk rakaman malam bersama dengan ciri RockSteady 3.0 dan HorizonBalancing.

Terdapat juga sokongan video menegak yang sesuai untuk kandungan media sosial seperti Reels, Short dan TikTok. Peranti ini dibina dengan rekaan tahan lasak yang boleh digunakan sehingga 10 meter di bawah air, sesuai untuk aktiviti lasak.

Peranti ini turut dipadankan dengan Multifunctional Vision Dock yang mempunyai skrin LCD bersaiz 1.96-inci dengan berat sekitar 72 gram. Melaluinya, ia membolehkan rakaman dipantau dari jarak jauh turut boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh. Selain itu, vision dock ini boleh digunakan untuk pemindahan fail tanpa wayar.

DJI Osmo Nano dimuatkan dengan bateri 520mAh yang mampu merakam video sehingga 90 minit dalam resolusi FHD. Mampu meningkat sehingga 200 minit rakaman video jika digunakan dengan vision dock yang mempunyai bateri tambahan 1300mAh.

Peranti ini ditawarkan dalam dua pilihan storan 64GB atau 128GB dengan sokongan memori tambahan sehingga 1TB melalui kad microSD. Di Malaysia, DJI Osmo Nano dijual pada harga bermula RM1229 untuk 64GB dan RM1409 untuk 128GB.