Close

3 perkara menarik dan kurang menarik mengenai Samsung Galaxy Buds3 FE

Umum mengetahui, Fan Edition (FE) adalah variasi yang lebih mampu milik yang ditawarkan oleh Samsung. Walaupun ditawarkan pada harga mampu milik, namun masih membawakan elemen premium dan prestasi setaraf peranti andalan. Untuk kali ini, Samsung hadir dengan TWS terbaru iaitu Galaxy Buds3 FE.

3 menarik

Rekaan

Seperti model utama, Samsung turut membawakan rekaan ‘Blade Design’ pada Galaxy Buds3 FE. Rekaan ini dilihat lebih menonjol dan lebih ergonomik sekaligus memberikan keselesaan yang lebih baik untuk penggunaan jangka masa panjang.

Bukan itu sahaja, rekaan buds turut menggunakan rekaan yang berbeza iaitu jenis bertangkai dan menggunakan kemasan jenis kesat. Dengan menggunakan rekaan jenis bertangkai, ia membolehkan sokongan kawalan dibuat secara swipe atau pinch pada permukaan ‘blade’.

Untuk bekas pengecas, ia hadir dengan dua jenis kemasan dengan bahagian penutup menggunakan kemasan jenis berkilat dengan rekaan lut sinar sementara bahagian bawah menggunakan kemasan jenis kesat, memberikan cengkaman yang lebih baik ketika memegang.

Secara keseluruhan, rekaan Galaxy Buds3 FE boleh dikatakan cukup menarik dan nampak lebih moden. Selain itu, rekaan ini dilihat lebih memfokuskan kepada keselasaan untuk penggunaan jangka masa panjang.

Prestasi

Galaxy Buds3 FE menawarkan kualiti bunyi yang lebih jelas dan lebih terperinci. Dilengkapi dengan 1-Way Dynamic Driver yang menawarkan bunyi bass yang mendalam dan treble yang lebih jelas. Bukan itu sahaja, sistem Active Noise Cancelling (ANC) turut dipertingkatkan, membolehkan pendengaran lebih imersif walaupun pada kawasan yang bising.

Selain itu, Samsung turut menyertakan fungsi Crystal Clear Call yang dikuasakan oleh AI, mengasingkan suara pengguna dan memastikan panggilan lebih jelas. Galaxy Buds3 FE dilengkapi dengan tiga mikrofon secara terbina dan menyokong kawalan muzik atau suara melalui bahagian tangkai earbuds.

Tidak ketinggalan, TWS ini turut hadir dengan ciri 360 Audio untuk memberikan pengalaman audio spatial yang disimulasikan dari bunyi sekeliling. Selain itu, ia turut menyokong sokongan codec SSC, AAC dan SBC.

Galaxy AI

Seperti model premium, Galaxy Buds3 FE turut hadir dengan intergrasi Galaxy AI dan juga Gemini. Untuk mengakses Gemini, ia boleh dilakukan dengan arahan suara ‘Hey Google’ atau pinch dan tahan pada buds. Melalui kemampuan ini, pengguna tidak lagi perlu membuka telefon untuk mengakses pembantu AI.

Galaxy Buds3 FE juga dimuatkan dengan ciri interpreter membolehkan perbualan diterjemah dalam masa nyata. Ciri ini akan memaparkan perbualan yang diterjemah pada skrin telefon dan mendengar terjemahan terus di telinga. Ditawarkan dalam dua pilihan iaitu listening mode dan juga conversation mode. Melalui ciri ini, ia dapat mewujudkan komunikasi dua hala yang lebih baik.

3 kurang menarik

Pengecasan

Tidak dinafikan, Galaxy Buds3 FE hadir dengan pelbagai penambahbaikan yang menarik. Namun begitu, Samsung tidak menawarkan sokongan pengecasan tanpa wayar pada peranti ini seperti mana tersedia pada model yang lebih premium iaitu Pro.

Dengan sokongan pengecasan tanpa wayar ia memberikan pengguna ini lebih pilihan untuk mengecas peranti sama ada secara berwayar atau tanpa wayar. Walau bagaimanapun, kemampuan pengecasan berwayar yang ditawarkan cukup baik dengan pengecasan 5 ke 10 minit mampu memberikan penggunaan sekitar 2 jam.

Kualiti audio

Galaxy Buds3 FE tidak menyokong codec resolusi tinggi seperti LDAC dan aptX. Bagi peminat atau pengguna audiophile, kekurangan ini mungkin sedikit mengecawakan.kerana codec resolusi tinggi memberikan pengalaman audio yang lebih terperinci dan berkualiti.

Walau bagaimanapun, ketiadaan sokongan LDAC dan aptX pada Galaxy Buds3 FE mungkin tidak ketara untuk pengguna biasa. Sokongan codec SSC, AAC dan SBC masih mampu membawakan pengalaman audio yang cukup baik untuk kebanyakkan pengguna.

Intergrasi aplikasi

Untuk mendapatkan potensi penuh pada Galaxy Buds3 FE ia perlu disambungan dengan peranti Samsung. Ini disebabkan oleh Galaxy buds3 FE direka dan dioptimumkan untuk berfungsi dalam ekosistem Galaxy untuk pengalaman penggunaan yang lebih baik

Namun begitu, Galaxy Buds3 FE masih boleh digunakan dengan peranti jenama lain, tetapi pengalaman audio yang lebih baik dan sokongan ciri tambahan yang menarik tidak tersedia.

ARTIKEL BERKAITAN