Close

5 perkara menarik tentang Proton Saga MC3

Proton telahpun mengumumkan ketibaan Saga MC3 2026 yang merupakan sedan segmen A. Berbeza dengan generasi sebelumnya, Saga MC3 menawarkan pengalaman yang lebih moden, selesa dan berteknologi tinggi sekali gus menetapkan penanda aras baru untuk kereta dalam kelasnya.

Reka bentuk dan teknologi

Proton Saga MC3 dibina berasaskan platform AMA (Advanced Modular Architecture) dengan kerangka yang telah ditambahbaik menggunakan teknologi Hot Press Forming (HPF). Platform ini memberikan sokongan casis yang lebih baik dan membolehkan pelbagai teknologi baru dimuatkan.

Merupakan model pertama yang direka dan dibangunkan sepenuhnya di Malaysia dengan kerjasama teknikal dari Geely. Platform ini membolehkan pelbagai ciri keselamatan moden dimuatkan sepert Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS), Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), dan Pemantauan Titik Buta (BSM) dan lain-lain.

Lebih menarik, Saga MC3 ini merupakan sedan segmen A pertama yang menawarkan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar. Dengan menggunakan slogan ‘Intelligence That Thrills, model ini menggabungkan gaya, keselamatan, keselesaan, inovasi dan sambungan digital.

Enjin dan transmisi

Proton Saga MC3 2026 dikuasakan dengan enjin baru DOHC i-GT PFI 1.5 liter tanpa turbo. Enjin ini dibangunkan oleh Aurobay dengan kod BHE15. Merupakan enjin dari keluarga yang sama digunakan pada Proton X50 facelift.

Enjin ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sekitar 118 hp dengan 150 Nm tork. Berbeza dengan enjin sebelumnya, enjin ini tidak lagi menggunakan sistem timing belt tapi diganti dengan timing chain untuk memberi ketahanan yang lebih baik. Ditawarkan dalam dua tranmisi iaitu automatik 4-kelajuan Aisin (4AT) untuk varian standard dan executive. Sementara untuk varian premium ia menggunakan tranmisi CVT.

Interior

Proton Saga MC3 menerima perubahan ketara pada bahagian dalaman, hadir dengan reka bentuk papan pemuka serba baru bersama pelbagai teknologi canggih dalam segmennya.

Dilengkapi dengan dwi-skrin bersepadu dengan panel skrin baru yang memuatkan kluster instrumen digital bersaiz 7-inci dan skrin infotainmen bersaiz 9-inci. Sistem infotainment ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, ciri yang jarang ada pada sedan segmen A di Malaysia.

Bukan itu sahaja, papan muka turut diberi nafas baru untuk memberikan rasa yang lebih premium. Terdapat corak dengan tekstur ombak dan aircond vent menggunakan rekaan yang diinspirasikan dari congkak. Menggunakan rekaan stereng baru dengan sentuhan yang sporty untuk keselesaan pemanduan yang lebih baik.

Exterior

Proton Saga MC3 tampil dengan rekaan luar yang lebih menarik dan kemas. Gril depan diberi nafas baru dengan reka bentuk Infinite Weave dengan palang krom Ethereal Bow. Lampu bahagian depan kini menggunakan lampu projektor LED dan bar lampu LED pada bahagian belakang.

Bumper hadapan dan belakang turut direka semula sepenuhnya untuk menjadikan ia lebih kemas dan lebih segar Rekaan sisi masih kekal seperti model sebelum namun dengan keupayaan aerodinamik yang lebih baik. Selain itu, ia turut hadir dengan rim rekaan baru bersaiz 15-inci untuk varian eksekutif dan premium.

Harga

Harga jualan rasmi buat masa ini belum lagi didedahkan namun harga anggaran telahpun diumumkan iaitu bermula RM40,000 sehingga RM50,000. Harga jualan ini boleh dikatakan cukup menarik berikutan ia hadir dengan pelbagai penambahbaikan serta teknologi yang lebih baik.

Bagi yang berminat, Proton Saga MC3 telahpun dibuka untuk pra-tempahan, pelancaran rasmi model ini dijangka akan dibuat sekitar bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN