Di acara Proton Tech Showcase, Proton turut mempamerkan kemampuan teknologi digital dan ketersambungan peranti pintar yang berkerjasama dengan HUAWEI.

Melalui kerjasama ini, jam pintar HUAWEI mempunyai kebolehan untuk mengawal pelbagai fungsi pada model Proton. Antara fungsi yang boleh dikawal adalah seperti kawalan tingkap, bonet belakang, pendingin hawa, lampu, kunci, penggera dan juga untuk menghidupkan enjin.


Selain itu, beberapa maklumat mengenai kenderaan turut dipaparkan seperti nombor plat kenderaan, lokasi semasa, jarak perjalanan, penggunaan minyak dan juga status kereta.


Walau bagaimanapun, fungsi ini hanya menyokong model Proton X50, X70, X90 dan juga S70. Untuk peranti, ia hanya menyokong jam pintar HUAWEI Watch 5, Watch Ultimate 2 dan Watch 4. Intergrasi atau fungsi ini menggunakan sokongan internet sepenuhnya dan boleh diakses secara terus dari jam pintar.

Selain itu, tiada maklumat mengenai ketibaan ciri ini dan HUAWEI hanya mengesahkan ciri ini akan tiba tidak lama lagi. Acara Proton Tech Showcase ini menghimpunkan pelbagai inovasi kejuruteraan PROTON termasuk platform GMA, bateri Short Blade, enjin dan transmisi PHEV, serta pameran teknologi AR dan AI oleh ACO Tech. Acara ini dibuka secara umum yang akan berlangsung bermula 5 hingga 7 Disember 2025.