Hong Leong Bank (HLB) menjadi bank seterusnya yang menyokong pembayaran melalui Apple Pay. Buat yang tidak mengetahui, Apple Pay adalah perkhidmatan dompet digital yang membolehkan pengguna melakukan pembayaran menggunakan peranti Apple seperti iPhone, Apple Watch, iPad dan Mac.
Melalui perkongsian Hong Leong Bank, semua kad VISA yang dikeluarkan oleh Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) boleh digunakan dengan Apple Pay, kecuali kad kredit HLB GSC (Gold & Platinum) dan kad debit HLB untuk pemegang kad berumur bawah 16 tahun.
Seiring dengan ketibaan Apple Pay, HLB turut berkongsi cara untuk menambah kad HLB ke dalam Apple Wallet.

- Buka aplikasi Apple Wallet dan tekan butang “+”
- Pilih “Debit or Credit” dan tekan “Continue”.
- Imbas kad HLB dan ikut arahan pada skrin.
- Buka aplikasi HLB Connect dan pilih Apple Pay.
- Ikut arahan pada skrin dan tetapkan kad.
- Selesai.
Sokongan pembayaran melalui Apple Pay membolehkan pengguna menikmati transaksi yang lebih pantas, selamat dan mudah tanpa perlu mengeluarkan kad fizikal, selari dengan gaya hidup digital masa kini.