Tidak dinafikan spesifikasi menjadi perkara utama dalam setiap pembelian peranti atau fon baru. Namun begitu, terdapat perkara lain yang perlu dilihat antara tempoh kemas kini yang ditawarkan oleh pengeluar.
Sokongan kemas kini yang lebih panjang menjadikan peranti lebih selamat dan kekal optimum dari segi prestasi dan aplilkasi. Berikutan dari itu, kami ingin berkongsi senarai pengeluar yang menawarkan kemas kini yang panjang untuk peranti mereka.
Samsung

Samsung boleh dikatakan sebagai pengeluar terawal yang menyokong kemas kini sehingga 7 tahun untuk peranti andalan mereka.
Sokongan kemas kini : 7 tahun untuk Android dan keselamatan
Model : Siri Galaxy S24, siri Galaxy S25, siri Galaxy S26, Galaxy Z Fold6/7 dan Galaxy Z Flip6/7
Google Pixel

Google turut menawarkan kemas kini yang panjang untuk peranti andalan mereka. Walaupun, menawarkan kemas kini yang sama seperti Samsung namun peranti Pixel akan menjadi peranti terawal menerima Android versi baru.
Sokongan kemas kini : 7 tahun untuk Android dan keselamatan
Model : Siri Google Pixel 8, siri Google Pixel 9 dan siri Google Pixel 10
FairPhone

Jika Samsung dan Google menawarkan kemas kini sehingga 7 tahun, FairPhone pula menawarkan kemas kini yang lebih panjang iaitu sehingga 10 tahun. Walau bagaimanapun, peranti ini tidak ditawarkan secara meluas serta tiada jualan rasmi untuk pasaran tempatan.
Sokongan kemas kini : 5 untuk Android dan 10 untuk keselamatan
Model : FairPhone (Gen 6), FairPhone 5
iPhone

Secara dasarnya, Apple tidak pernah mendedahkan sokongan kemas kini yang ditawarkan pada peranti mereka. Namun, merujuk kepada rekod kemas kini yang diberikan kebiasaanya adalah 6 hingga 8 tahun. Fakta menarik, iPhone 5s masih mendapat kemas kini pada 2026 biarpun telah berusia 13 tahun.
Sokongan kemas kini : 6 hingga 8 tahun
Model : iPhone 5s, iPhone X, iPhone 16 Series dan ke atas
Nothing

Nothing turut menawarkan kemas kini yang lebih panjang iaitu sehingga 7 tahun. Namun, kemas kini 7 tahun adalah untuk keselamatan dan 5 tahun untuk Android.
Sokongan kemas kini : 5 tahun Android dan 7 tahun keselamatan
Model : Nothing Phone (3)
vivo

Selain Nothing, vivo turut menawarkan kemas kini yang sama iaitu 5 tahun untuk Android dan 7 tahun untuk keselamatan.
Sokongan kemas kini : 5 tahun Android dan 7 tahun keselamatan
Model : Siri vivo X300
Untuk pengeluar lain seperti Xiaomi, OPPO, ASUS, OnePlus dan lain-lain secara puratanya kemas kini yang ditawarkan adalah 4 tahun untuk Android dan 5 tahun untuk keselamatan. Walau bagaimanapun, sokongan ini hanya untuk peranti andalan sahaja.