Close

Ulasan Samsung Galaxy A37 5G – Pilihan berbaloi dalam kelasnya

Samsung Galaxy A37 mungkin boleh dianggap sebagai pilihan yang menarik bagi pengguna yang mahukan peranti yang seimbang dari segi rekaan, ketahanan bateri dan pengalaman penggunaan harian. Peranti ini hadir dengan rekaan premium, kamera yang memadai serta sokongan perisian yang konsisten untuk peranti kelas pertengahan.

Rekaan dan skrin

Samsung Galaxy A37 5G tampil dengan rekaan yang minimalis dan juga premium. Walaupun tanpa perubahan ketara, rekaan peranti ini nampak lebih premium daripada yang dijangka. Samsung mengambil inspirasi dari rekaan siri peranti andalan mereka seperti Galaxy S26 dengan penggunaan rekaan jenis berkotak dan kemasan yang nampak lebih mewah.

Penggunaan rekaan sisi jenis rata menjadikan peranti ini lebih kemas dan terdapat Key Island menempatkan butang kuasa dan butang suara. Peranti ini turut menyokong penarafan yang lebih tinggi iaitu IP68, memberikan ketahanan yang lebih baik. Sebagai perbandingan, model sebelumnya hanya menyokong penarafan IP67.

Namun begitu, mungkin terdapat sesetengah pengguna kurang mengemari rekaan sisi jenis rata, sebaliknya menyukai rekaan sisi melengkung yang dikatakan lebih selesa apabila digunakan dalam tempoh panjang. Bercakap mengenai pilihan warna, peranti ini hadir dengan pilihan warna yang menarik seperti Awesome Lavender, Awesome Charcoal dan Awesome Graygreen.

Samsung Galaxy A37 5G dilengkapi dengan skrin AMOLED bersaiz 6.7-inci dengan resolusi FHD+ yang turut menyokong paparan 120Hz dan Vision Booster. Selain itu, skrin peranti ini dilindungi dengan Gorilla Glass Victus+ untuk ketahanan yang lebih baik dan mempunyai tahap kecerahan puncak yang lebih tinggi 1200 nit untuk memberikan penglihatan yang lebih jelas dan terang untuk kegunaan luar.  Secara keseluruhan, rekaan dan keupayaan skrin peranti ini sememangnya cemerlang dalam semua aspek.

Prestasi dan sistem operasi

Samsung Galaxy A37 5G tidak menggunakan cip Snapdragon seperti model sebelumnya, sebaliknya ia dikuasakan dengan cip Exynos 1480 yang dipadankan dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman 256GB. Malangnya, peranti ini tidak lagi menyokong storan tambahan berikutan tiada slot untuk mikroSD.

Walaupun spesifikasi peranti ini mungkin tidak terlalu “wow” di atas kertas, namun pengalaman penggunaan sebenar masih terasa lancar untuk pengguna biasa. Secara keseluruhan, kemampuan prestasi pada peranti ini boleh dikatakan cukup baik dan memuaskan sesuai dengan penawarannya.

Bagi pengalaman bermain permainan, peranti ini mampu menjalankan kebanyakkan permainan dengan lancar dalam masa yang sama tiada masalah kepanasan melampau. Selain itu, beberapa permainan mampu dimainkan pada tetapan yang tinggi dengan cukup stabil.

Samsung Galaxy A37 5G menggunakan sistem operasi terkini iaitu OneUI 8.5 yang berasaskan kepada Android 16. Walaupun peranti ini merupakan peranti kelas pertengahan, Samsung tetap membawakan pelbagai ciri AI melalui pakej yang dipanggil sebagai Awesome AI.

Antara ciri AI menarik yang ditawarkan seperti Object Eraser, Voice Transcription, Circle to Serach dan banyak lagi. Untuk Object Eraser, ia membolehkan pengguna membuang objek yang tidak diingini manakala, voice transcription pula membolehkan rakaman suara ditukar kepada bentuk teks.

Untuk Circle to Search, Samsung telah menambah baik ciri ini sekaligus membolehkan pengguna membuat carian lebih dari satu objek dalam gambar dan mendapatkan maklumat berkaitan dengan pantas menerusi carian berasaskan AI. Selain itu, peranti ini menyokong jaminan kemas kini sehingga enam tahun untuk sistem operasi dan keselamatan.

Secara keseluruhan, Awesome AI tidaklah setanding seperti Galaxy AI yang ditawarkan pada peranti andalan Samsung. Namun begitu, ciri ini sudah cukup memadai dalam masa yang sama menjadi nilai tambah pada peranti ini.

Kamera

Samsung Galaxy A37 5G hadir dengan tetapan kamera yang hampir sama tiada perubahan ketara berbanding generasi sebelumnya. Peranti ini masih dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 8MP Ultra Lebar + 5M makro dan swafoto 12MP.

Sensor utama 50MP ini menggunakan teknologi pixel binning yang menghasilkan gambar pada resolusi 12.5MP. Dengan teknologi ini, membantu memberikan julat dinamik dan perincian lebih baik serta warna yang dihasilkan lebih menyerlah. Namun, Sekiranya anda mahukan hasil imej yang lebih baik dan jelas, mod 50MP mampu memberikan hasil yang lebih tajam, tekstur yang lebih baik dan lebih jelas.

Kemampuan kamera ultra lebar juga boleh dikatakan baik sesuai untuk merakam imej pemandangan yang lebih luas. Namun begitu, kualiti imej yang diberikan tidak setanding kamera utama dengan hasil imej kurang perincian dan warna kurang konsisten. Dari segi rakaman video, peranti mampu merakam video pada resolusi sehingga 4K 30fps yang menyokong kamera depan dan juga belakang. Secara keseluruhan, Samsung Galaxy A37 5G menawarkan prestasi kamera yang cukup baik untuk peranti kelas pertengahan.

Bateri

Samsung Galaxy A37 5G dimuatkan dengan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W. Seperti yang kita tahu, Samsung tidak lagi menyertakan kepala pengecasa didalam kotak dan pengguna perlu membelinya secara berasingan atau menggunakan pengecas sedia ada.

Bercakap mengenai ketahanan bateri, peranti ini menawarkan ketahanan bateri yang sangat baik. Bagi penggunaan biasa ia mampu bertahan sepanjang hari dengan Screen On Time (SOT) mampu mencapai sekitar 7 jam dan ke atas. Manakala untuk penggunaan yang lebih berat, SOT yang ditawarkan sekitar 6 jam dan ke bawah bergantung kepada penggunaan mungkin berbeza bagi setiap pengguna.

Dari segi pengecasan, peranti ini mampu mengecas dari 0% ke 60% dalam masa 30 minit dan untuk pengecasan penuh ia mengambil masa sekitar 1 jam 13 minit.

Kesimpulan

Apa yang boleh dikatakan, Samsung Galaxy A37 5G adalah peranti yang berbaloi dengan pakej yang cukup lengkap untuk pengguna yang mencari fon pintar dengan rekaan yang premium, ketahanan bateri yang baik dan sokongan kemas kini yang panjang.

ARTIKEL BERKAITAN