Ciri terbaru Google iaitu ‘Try On’ kini tersedia di Malaysia, sekaligus membolehkan pengguna mencuba pakaian secara maya sebelum membuat pembelian. Sebelum ini, ciri tersebut hanya tersedia untuk pengguna di Amerika Syarikat sahaja.

Ciri ini dibina berasaskan kepada kecerdasan buatan (AI) dan memerlukan pengguna memuat naik foto penuh terlebih dahulu sebelum ciri ini boleh digunakan. Seterusnya, pengguna boleh melihat bagaimana sesuatu pakaian itu kelihatan apabila dipakai dan ia menyokong pelbagai kategori pakaian merangkumi baju, seluar, gaun dan kasut.

Ciri ini boleh diakses melalui carian Google Images atau tab Shopping di Search dengan butang ‘Try it on’ akan dipaparkan pada pakaian yang dipilih. Pengguna turut mempunyai pilihan untuk menyimpan pakaian yang telah dicuba dan boleh dikongsi dengan rakan.

Ciri ini telahpun dilepaskan secara berperingkat dan dijangka akan tersedia kepada semua pengguna di Malaysia dalam beberapa minggu akan datang.