Instagram dilaporkan mula menguji video berdurasi 90 minit dengan paparan jenis horizontal atau landskap.
Menurut maklumat, ciri baru ini bakal dikenali sebagai Features, menyasarkan kepada podcaster atau pencipta kandungan yang menghasilkan video panjang. Melalui ciri ini, pencipta kandungan boleh memuat naik video landskap yang berdurasi 90 minit. Video yang dimuatkan boleh dicari melalui Reels dengan durasi yang lebih pendek dan kandungan penuh boleh ditonton dengan hanya tap pada video tanpa perlu keluar dari aplikasi Instagram.

Pendekatan ini dikatakan sesuai untuk kandungan seperti persembahan komedi, temu bual atau podcast video. Selain itu, pengenalan ciri ini merupakan salah satu usaha Instagram untuk bersaing dengan YouTube. Ketika ini, Reels kerap digunakan untuk mempromosikan episod penuh, kini Instagram mahu mengambil peluang tersebut dengan memanfaatkan kedua-dua format dalam platform yang sama.
Walau bagaimanapun, ciri ini masih dalam fasa ujian dan belum diumumkan untuk semua pengguna. Beberapa pencipta kandungan terpilih di Amerika Syarikat dikatakan telahpun menguji ciri ini dan dijangka akan diperluaskan dalam masa terdekat. Ketibaan ciri membolehkan Instagram bersaing dengan beberapa platform lain seperti YouTube, TikTok dan lain-lain.