Tidak dinafikan, terdapat banyak pilihan Android TV atau Smart TV di pasaran ketika ini. Di era masa ini, TV bukan lagi sekadar untuk menonton siaran televisyen tetapi lebih daripada itu. Jika anda sedang mencari TV baru untuk menikmati pengalaman menonton filem atau bermain permainan video, Xiaomi TV S Pro Mini LED 75 ini mungkin antara pilihan yang patut dipertimbangkan.
Rekaan

Xiaomi TV S Pro Mini LED 75 menggunakan binaan unibody metal frame untuk memberikan ketahanan struktur yang lebih kukuh di samping menjadikan ia nampak lebih premium. Selain itu, ia hadir dengan rekaan bingkai yang nipis dengan nisbah skrin sekitar 98%, menjadikan TV ini seakan-akan menggunakan rekaan borderless.

Rekaan ini bukan sahaja memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik tetapi turut menjadikan ia nampak lebih premium. Bukan itu sahaja, rekaan belakang TV ini dibina secara rata tanpa sebarang komponen yang terkeluar. Menjadikan ia mudah dan sesuai untuk diletakkan secara wall-mount supaya kelihatan lebih kemas.

Jika anda lebih gemar untuk meletakkan TV diatas kabinet, terdapat dua pilihan tapak yang disediakan iaitu narrow stance dan wide stance. Untuk narrow stance, ia membolehkan TV diletakkan lebih rapat ke tengah supaya muat di atas kabinet TV yang pendek. Manakala, wide stance pula untuk kestabilan maksimum dan terdapat ruang untuk meletakkan soundbar di tengah.
Skrin

Xiaomi TV S Pro Mini LED 75 ini menggunakan skrin QD-Mini LED merupakan gabungan dua teknologi skrin premium iaitu Quantum Dot (QLED) dan Mini LED. Gabungan ini dibangunkan untuk memberikan kualiti visual setaraf skrin OLED, tetapi pada harga yang jauh lebih mampu milik dan tanpa risiko skrin “burn-in”.

Antara kelebihan menggunakan teknologi skrin ini adalah ia mampu menghasilkan kontras yang tinggi dalam masa yang sama menjadikan kandungan HDR lebih terang dan lebih menyerlah. Selain itu, TV ini juga menyokong Dolby Vision, HDR10+, HLG dan kecerahan puncak sehingga 1700 nits.

Selain itu, TV ini turut dilengkapi dengan Skrin Anti-Silau Rendah Pantulan (Low-Reflection Display) yang mana ia menggunakan panel khas untuk mengurangkan pantulan. Tidak ketinggalan, skrin ini turut menyokong Variable refresh rate (VRR), Game Boost Mod, Xiaomi Visual Engine Pro dan AMD FreeSync Premium.
Audio

Bukan sahaja hadir dengan rekaan dan skrin yang baik, Xiaomi turut menitikberatkan kualiti audio. TV ini dimuatkan dengan sistem audio yang berkualiti tinggi yang menggunakan Harman AudioEFX untuk memberikan profil bunyi yang lebi dnamik dan seimbang sesuai untuk pelbagai jenis kandung.
Dilengkapi dengan dua pembesar suara dengan jumlah kuasa yang dihasilkan 30W yang lebih daripada cukup untuk memenuhi ruang bilik tanpa perlu menaikkan suara ke tahap maksimum.. Selain itu, ia turut menyokong format audio Dolby Atmos dan DTS:X yang memberikan bunyi yang lebih luas dan lebih imersif.

Terdapat juga ciri multi-scenario smart sound yang dikuasakan oleh AI. Ciri ini secara automatik akan mengesan jenis kandungan yang sedang ditonton. Kemudian TV akan menyesuaikan tetapan audio secara masa nyata, sebagai contoh jika anda menonton berita kejelasan suara akan ditingkatkan manakala jika anda bermain permainan kesan bunyi persekitaran akan ditajamkan.
Spesifikasi

Dari segi prestasi, Xiaomi TV S Pro Mini LED 75 dikuasakan dengan cip pemproses Quad-Core Cortex-A73 yang dipadankan dengan 3GB RAM dan 32GB storan dalaman 32GB. Untuk prestasi grafik ia menggunakan GPU Mali-G52 MC1.
Untuk sistem operasi pula, TV ini menggunakan sistem operasi Google TV, membolehkan ia mengakses pelbagai aplikasi penstriman.Turut mempunyai Google Assistant secara terbina, selain menyokong Google Cast, Miracast dan Apple AirPlay yang membolehkan pengguna berkongsi kandungan dari peranti ke TV secara terus.
Untuk port sambungan, TV ini hadir dengan tiga port HDMI 2.1 yang menyokong ciri seperti ALLM dan VRR. Dua daripada port HDMI ini turut menyokong resolusi 4K 144Hz, menjadikannya sesuai untuk konsol atau PC. Selain itu terdapat juga juga port sambungan USB 2.0 dan 3.0, Ethernet, optical audio, CI+ slot, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2 dan bicu 3.5 mm.

Di Malaysia, Xiaomi TV S Pro Mini LED 75” (2026) ditawarkan di Malaysia pada harga RM4999. Jika anda berminat, TV ini boleh dibeli melalui Mi.com, Xiaomi Stores, serta platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada.