Apple dilaporkan sedang merancang untuk memperkenalkan cermin mata pintar (smart glasses) pertamanya pada acara WWDC 2027.
Menurut laporan, peranti yang dikenali sebagai N50 secara dalaman sepatutnya tiba pada penghujung 2026 dan diperkenalkan pada awal 2027. Namun, Apple dikatakan menangguhkan pelancaran peranti tersebut untuk memperhalusi produk serta memperkukuhkan pendekatan syarikat terhadap isu privasi.

Laporan sama turut menyatakan, Apple akan memberi penekanan terhadap pemprosesan data secara terus pada peranti bagi mengurangkan kebergantungan kepada pelayan awan. Selain itu, Apple juga dilapor tidak akan menyertakan ciri seperti pengecaman wajah dan “super-sensing” , yang sering menjadi isu privasi pada peranti boleh pakai.
Selain itu, Cermin mata pintar ini mungkin tidak akan menyokong rakaman gambar atau video biarpun ia dilengkapi dengan sistem kamera penuh. Sebaliknya, sistem kamera ini akan digunakan untuk memahami persekitaran pengguna dan menyalurkan maklumat kepada sistem AI untuk pelbagai fungsi pintar.
Sekiranya laporan ini tepat, Apple bakal menjadi pesaing kepada Meta Ray-Ban Smart Glasses, manakala Samsung juga dilaporkan sedang membangunkan peranti dalam kategori sama.