Google dikatakan sedang merancang untuk menghentikan sepenuhnya pengeluaran produk Pixel di China bermula 2027.

Rancangan tersebut tidak terhad kepada fon Pixel sahaja, tetapi turut merangkumi produk lain seperti Pixel Watch dan Pixel Buds. Menurut laporan, Google sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah meningkatkan kapasiti pengeluaran di Vietnam dan India sebagai usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap China. Walau bagaimanapun, sebahagian besar produk Pixel masih lagi dihasilkan di China ketika ini.
Google dikatakan semakin yakin dengan pengeluaran di Vietnam selepas berjaya membangunkan serta mengeluarkan fon Pixel pada tahun ini. Kejayaan tersebut telah memberikan keyakinan kepada Google untuk memindahkan keseluruhan operasi pengeluaran keluar dari China.
Jika laporan ini tepat, Google bakal menjadi antara jenama telefon pintar global yang mengambil pendekatan yang hampir sama seperti Samsung yang mengurangkan pengeluaran telefon pintar di China. Memandangkan peranti Pixel tidak ditawarkan secara rasmi di China, perkara tersebut lebih mudah untuk dilakukan oleh Google berbanding jenama lain.