Nvidia dilaporkan telah melabur sebanyak $3.5 billion dalam MediaTek, merupakan pelaburan terbesar yang pernah diterima oleh syarikat tersebut.
Pelaburan ini sekali gus menunjukkan hubungan kerjasama antara Nvidia dan MediaTek kini semakin kuat dalam industri kecerdasan buatan (AI). Kerjasama ini menggabungkan kepakaran Nvidia dalam bidang pengkomputeran manakala MediaTek dalam reka bentuk cip tersuai, pembangunan System-on-Chip (SoC) berprestasi tinggi serta cekap tenaga, teknologi pembungkusan cip dan rangkaian.

MediaTek akan menggunakan platform NVLink Fusion milik Nvidia, yang membolehkan penyedia perkhidmatan awan dan pembangun AI membina cip AI tersuai yang boleh dihubungkan terus dengan sistem pengkomputeran AI Nvidia. Selain itu, kerjasama ini akan lebih memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu Infrastruktur AI, Edge AI dan juga platform AI untuk kenderaan.
Kerjasama antara kedua-dua syarikat ini berpotensi menghasilkan lebih banyak produk AI pada masa akan datang. Pelaburan besar Nvidia ini jelas menunjukkan bahawa MediaTek kini memainkan peranan penting dalam ekosistem AI global.