OPPO telahpun memperkenalkan sistem operasi baru mereka iaitu ColorOS 17 secara global. Sistem operasi baru ini dibina menggunakan Android 17 dan hadir dengan antara muka baru, ciri AI lebih pintar serta prestasi yang lebih pantas untuk memberi pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Seiring dengan pengenalan tersebut, OPPO turut berkongsi senarai dan juga jadual ketibaan sistem operasi ColorOS 17 untuk peranti yang layak. Kemas kini ColorOS 17 akan mula dilepaskan bermula Oktober 2026 untuk model terpilih dan akan tersedia pada semua model pada suku pertama 2027.

ColorOS 17 hadir dengan antara muka baru yang dipanggil Living Flow Design dengan elemen lut sinar serta animasi yang lebih interaktif. OPPO turut memperkenalkan Unified Rendering Architecture dan juga Laminar Flow Engine yang membolehkan telefon mengekalkan 25% lebih banyak aplikasi pada latar belakang.

Secara keseluruhan, ColorOS 17 bukan sahaja membawa perubahan pada antara muka sahaja tetapi merangkumi prestasi, pengurusan aplikasi latar belakang, fungsi AI dan juga keselamatan.