HONOR Malaysia telah menjadualkan acara pelancaran Magic9 Pro Max ke pasaran tempatan pada 24 November 2026. Acara pelancaran ini turut boleh ditonton secara langsung melalui Facebook rasmi HONOR Malaysia.

HONOR Magic9 Pro Max akan menjadi satu-satunya model dalam siri Magic9 yang akan ditawarkan di pasaran tempatan. Antara perkara menarik mengenai peranti ini adalah ia hadir dengan sistem kamera yang dibangunkan dengan kerjasama ARRI.

Melalui kolabrasi ini, ia membawakan pelbagai sokongan seperti ARRI LogC3, ARRI Looks serta penggunaan LUT LogC3 tersuai menerusi mod khas ARRI Cinema Mode. Peranti ini turut dilengkapi dengan kamera utama dan telefoto 200MP yang menyokong penstabilan CIPA 8.0 serta dimuatkan dengan cip pemprosesan imej HONOR Imaging Chip H1.

Selain itu, HONOR akan turut memperkenalkan dua aksesori teleconverter dengan jarak fokus 200mm dan 500mm, memberikan hasil gambar jarak jauh yang lebih baik. Lebih menarik, HONOR turut menawarkan SmallRig Mobile Video Kit untuk memberikan rakaman video yang lebih stabil ketika bergerak.

Malangnya, buat masa ini tiada maklumat mengenai harga jualan yang dikongsi oleh HONOR Malaysia. Seperti biasa, maklumat tersebut hanya akan diketahui pada acara pelancarannya kelak.