Harmon Kardon kini menawarkan dua pembesar suara baru iaitu Allure 2 dan Liora, hadir dengan kualiti bunyi yang dipertingkat bersama dengan rekaan yang estetik.

Untuk Harmon Kardon Allure 2, ia hadir dengan rekaan kompak dan terdapat kubah lutsinar pada bahagian atas dan tapak fabrik akustik yang mengekalkan identiti rekaan Harman Kardon. Dilengkapi dengan tiga full-range driver 1.5-inci yang disusun mengelilingi pembesar suara untuk menghasilkan audio 360 darjah, selain woofer 3.5-inci yang menghala ke bawah bagi memberikan bass lebih mendalam.

Bahagian kubah ini menyokong lima tema pencahayaan yang boleh bergerak mengikut muzik yang dimainkan. Allure 2 menyokong Bluetooth 5.4 dengan sambungan dua peranti serentak. Terdapat juga fungsi Auracast yang membolehkan ia untuk disambungan dengan Allure 2 lain untuk memberi pengalaman audio lebih baik.

Manakala untuk Harman Kardon Liora, ia hadir dengan rekaan berbentuk kapsul memanjang yang dilengkapi kubah separa lutsinar di bahagian atas dan bawah. Ia turut menyokong 10 pilihan pencahayaan ambien yang boleh diubah mengikut suasana, menjadikan ia bukan sekadar untuk mendengar muzik, tetapi turut boleh digunakan sebagai dekorasi dalam rumah.

Liora dilengkapi dua woofer 5-inci, empat pemacu mid-range 2.5-inci dan tiga tweeter 30mm bagi menghasilkan bunyi yang lebih terperinci serta seimbang. Turut menyokong ciri automatic self-tuning untuk mengoptimumkan kualiti bunyi mengikut kedudukannya. Terdapat juga teknologi Constant Sound Field yang membantu menghasilkan bunyi yang lebih menyeluruh, dengan vokal yang lebih jelas serta perincian instrumen yang lebih baik.

Liora juga boleh digunakan bersama floor stand yang dijual secara berasingan, membolehkan pembesar suara ini diletakkan pada posisi lebih tinggi.


Di Malaysia, Harman Kardon Allure 2 ditawarkan pada harga RM1099, sementara Harman Kardon Liora pula dijual pada harga RM5399. Bagi yang berminat, kedua-dua pembesar suara ini boleh didapati melalui kedai rasmi Harman Kardon di Shopee dan Lazada.