Jualan iPhone 14 Plus dilaporkan lebih teruk dari jangkaan biarpun kurang dari seminggu penjualannya di pasaran. Terkini, terdapat laporan mengatakan yang Apple telahpun menghentikan pengeluaran iPhone 14 Plus untuk sementara waktu.
Menurut The Information, Apple dikatakan akan menghentikan pengeluaran iPhone 14 Plus sementara waktu dan menilai semula pengeluaran bagi model tersebut.
Selain dari menghentikan pengeluaran iPhone 14 Plus, Apple turut dilaporkan telah menghentikan pengeluaran alat ganti bagi model tersebut . Kesan kepada keputusan tersebut memperlihatkan yang dua pembekal telah mengurangkan pengeluaran model tersebut sehingga 90%.
Antara sebab mengapa Apple mengurang dan mengehentikan pengeluaran iPhone 14 Plus adalah, disebabkan pengguna lebih memilih iPhone 14 Pro yang dijual pada harga $999 iaitu $100 lebih mahal dari iPhone 14 Plus $899. Selain itu, keadaan ekonomi global yang lemah juga adalah antara sebab Apple membuat keputusan sebegitu.
Buat masa ini, Apple tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas mengenai perkara tersebut.