Close

Siri Asus ROG Phone 7 dilancarkan dengan harga mencecah sekitar RM6789

Asus secara rasmi melancarkan pengganti kepada siri Asus ROG Phone 6 iaitu siri Asus ROG Phone 7. Hadir dengan dua varian iaitu Asus ROG Phone 7 dan Asus ROG Phone 7 Ultimate. Membawakan sejumlah peningkatan spesifikasi, sistem penyejukkan yang lebih baik dan juga kemampuan kamera yang lebih versatil.

Secara asasnya, kedua-dua peranti berkongsi spesifikasi yang hampir sama, dibezakan dengan rekaan pada bahagian kipas yang mempunyai lubang udara terbuka untuk membantu sistem penyejukkan pada Asus ROG Phone 7 Ultimate. Untuk spesifikasi, kedua-dua peranti dilengkapi dengan skrin 6.78-inci dengan Corning Gorilla Glass Victus yang turut menyokong paparan 165Hz. Dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.0.


Dari segi fotografi, ia hadir dengan tetapan sistem tri-kamera pada bahagian belakang dengan sensor utama 50MP Sony IMX766 + 13MP ultra lebar + 5MP makro. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor sebesar 32MP. Bateri 6000mAh dimuatkan yang turut menyokong pengecasan pantas 65W.

 

Antara perkara menarik yang dibawakan pada siri Asus ROG Phone 7 adalah ia hadir dengan sistem penyejukkan GameCool 7 yang dapat mempercepatkan penyejukkan. Selain itu, butang air trigger kini mempunyai fungsi tambahan yang boleh dilaraskan mengikut kepada pergerakan tertentu melalui Prss dan Lift.

Pengguna juga kini boleh memilih paparan secara manual melalui perisian Armory Crate seperti120Hz, 144Hz atau 165Hz sekaligus memberikan pengguna lebih banyak pilihan paparan. Asus turut menawarkan aksesori baharu iaitu Aeroactive Cooler 7 yang menyokong subwoofer. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti NFC, penarafan IP54, Wi-Fi 7, pembesar suara jenis stereo dan lain-lain.

Untuk harga jualan, Asus ROG Phone 7 dijual pada harga bermula dari €999 (RM4845) untuk 12GB + 256GB. Manakala, Asus ROG Phone 7 Ultimate pula dijual pada harga €1399 (RM6789). Buat masa ini Asus Malaysia belum lagi berkongsi mengenai tarikh pelancaran dan ketersediaan peranti ini untuk pasaran tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN