Close

Ulasan Samsung Galaxy Watch Ultra2 – Lebih berkuasa dan lebih tahan lama

Samsung mengemas kini penawaran jam pintar mereka dengan memperkenalkan Galaxy Watch Ultra2. Seperti mana model sebelumnya, Galaxy Watch Ultra2 memfokuskan kepada pengguna aktiviti lasak atau pengguna aktif, namun dengan beberapa peningkatan ketara, khususnya dari segi prestasi, skrin dan ketahanan bateri.

Rekaan dan skrin

Dari segi rekaan. Samsung masih lagi mengekalkan identiti yang sama iaitu rekaan squircle yang menggabungkan bentuk bulat dan segi empat. Rekaan ini memberikan penampilan yang berbeza berbanding kebanyakan jam pintar yang ada dipasaran termasuk Apple Watch Ultra.

Galaxy Watch Ultra2 dilengkapi dengan skrin Super AMOLED bersaiz 1.52-inci dengan sokongan kecerahan puncak yang lebih tinggi iaitu sehingga 5000 nits. Peningkatan ketara berbanding generasi sebelum yang hanya menyokong kecerahan puncak pada 3500 nits, sekali gus menjadikannya skrin peranti ini cukup terang biarpun digunakan di bawah cahaya matahari terik.

Tiada kompromi dari segi ketahanan, jam pintar ini menggunakan kerangka titanium tahan lasak yang melepasi piawaian MIL-STD 810H. Selain itu, ia turut menyokong penarafan IP69K serta ketahanan 10ATM, membolehkannya digunakan pada kedalaman sehingga 100 meter. Tidak ketinggalan, skrin peranti ini dilindungi dengan sapphire crystal untuk menawarkan ketahanan skrin yang lebih baik.

Jam pintar ini hanya ditawarkan dalam satu pilihan saiz sahaja iaitu 47mm dengan ketebalan 10.7mm dan berat sekitar 61.5 gram. Untuk pengguna dengan saiz tangan yang agak kecil ia mungkin tidak berapa sesuai kerana rekaan yang agak tebal. Melengkapkan jam pintar ini, ia hadir dengan tiga butang yang diletakkan di bahagian sisi kanan iaitu home button, quick button dan juga back button.

Selain rekaan, Samsung masih mengekalkan sistem Dynamic Lug Sytem memudahkan penggunaa untuk membuka dan menukar tali jam. Walau bagaimanapun, kekurangan menggunakan sistem ini adalah kurangnya pilihan tali jam dari pihak ketiga berbanding pesaing yang lain.

Prestasi dan sistem operasi

Galaxy Watch Ultra2 kini dikuasakan dengan cip dari Qualcomm iaitu Snapdragon Wear Elite, menggantikan cip Exynos yang digunakan pada generasi sebelumnya. Untuk konfigurasi memori, ia hadir dengan 2GB RAM dan storan dalaman 64GB.

Secara keseluruhan, prestasi jam pintar ini sememangnya cukup baik dan juga lancar. Pengalaman membuka atau menukar aplikasi terasa lancar dan juga responsif. Selain itu, semua aplikasi dapat dijalankan dengan cukup baik tanpa sebarang masalah.

Galaxy Watch Ultra2 menjalankan sistem operasi One UI 9 Watch yang berasaskan kepada Wear OS 7. Samsung turut menjanjikan sokongan kemas kini sehingga lima tahun untuk sistem operasi dan juga keselamatan. Antara kelebihan utama pada sistem operasi ini adalah sokongan aplikasi yang lebih meluas berbanding pesaing lain.

Selain itu, sistem oeprasi ini turut hadir dengan antaramuka yang interaktif menjadikan ia lebih menarik. Pengalaman penggunaan yang diberikan juga cukup baik biarpun pertama kali mencubanya. Untuk menjadikan ia lebih menarik, Samsung menggabungkan Google Gemini dan Galaxy AI menerusi One UI 9 Watch untuk menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih pintar.

Gabungan ini bukan sahaja memudahkan kawalan jam dengan menggunakan arahan suara, malah membantu pengguna memahami keadaan kesihatan dan kecergasan harian. Antara ciri menarik yang ditawarkan ialah Gemini Raise to Talk. Pengguna hanya perlu mengangkat pergelangan tangan dan mula bercakap untuk mengaktifkan Gemini tanpa perlu menekan sebarang butang atau menyebut kata arahan khas.

Penggunaan

Galaxy Watch Ultra 2 menawarkan pelbagai fungsi pemantauan kesihatan yang lebih menyeluruh menerusi sensor biometrik terbina. Selain pemantauan kadar denyutan jantung dan body composition, jam pintar ini turut menyokong pengukuran tahap antioksidan, pemantauan hidrasi serta penjejakan tidur dan aktiviti senaman yang lebih mendalam.

Samsung juga memperkenalkan Heart Health Score yang menggabungkan beberapa metrik kesihatan seperti corak tidur, tahap tekanan dan aktiviti fizikal bersama body composition untuk memberikan jumlah skor bagi kesihatan jantung.

Satu lagi ciri menarik ialah pengukuran tahap antioksidan dalam badan. Untuk menggunakan ciri ini, pengguna perlu menanggalkan jam tangan dan menekan ibu jari kemas pada sensor di bahagian belakang peranti. Lebih menarik, Samsung turut memberikan beberapa cadangan pemakanan untuk membantu meningkatkan tahap antioksidan.

Samsung turut menambah baik fungsi penjejakan tidur menerusi sistem yang memerlukan hanya tiga hari data tidur daripada tempoh dua minggu untuk menghasilkan analisis, berbanding tujuh hari pada generasi sebelumnya. Selain itu, terdapat ciri Sleep Coaching yang membantu dalam memberikan panduan dalam membaiki tabiat tidur.

Walau bagaimanapun, beberapa fungsi kesihatan seperti pengesanan apnea tidur, ECG dan pemantauan tekanan darah hanya tersedia jika anda menggunakan peranti Samsung Galaxy yang serasi. Sekiranya, anda menggunakan peranti Android jenama lain fungsi tersebut mungkin tidak tersedia.

Bateri

Galaxy Watch Ultra2 dimuatkan dengan bateri 800mAh, peningkatan yang agak besar berbanding 590mAh pada Watch Ultra generasi pertama. Samsung mendakwa Galaxy Watch Ultra2 ini mampu bertahan sehingga 60 jam dengan mod Always On Display (AOD) diaktifkan.

Pada penggunaan kami, jam pintar ini mampu bertahan sekitar 48 jam hingga 50 jam dengan mod AOD diaktifkan. Bermaksud, Galaxy Watch Ultra2 mampu bertahan sekitar dua hari penggunaan penuh tanpa perlu mematikan pelbagai fungsi penting. Suka diingatkan, ketahanan bateri ini bergantung kepada cara penggunaan dan ia mungkin berbeza mengikut penggunaan.

Dari segi pengecasan, jam pintar ini mampu mengecas 30% dalam masa sekitar 40 minit dan mengambil masa sekitar 1 jam 45 minit untuk satu pengecasan penuh.

ARTIKEL BERKAITAN