ASUS sebelum ini telahpun mengumumkan yang konsol mudah alih mereka iaitu ROG Ally akan memasuki pasaran global secara rasmi. Terkini, ASUS turut mengumumkan acara pelancaran ROG Ally yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.
ROG Ally yang dikatakan sebagai persaing kepada Steam Deck dijangka akan hadir dengan paparan 120Hz FHD yang turut menyokong kecerahan puncak 500 nits dan juga AMD FreeSync Premium. Dijana dengan cip siri AMD Ryzen Z1 yang dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 512GB PCIe Gen 4.
ROG Ally turut membawakan beberapa spesifikasi lain seperti pembesar suara stereo Dolby Atmos, pengimbas cap jari, sistem penyejukan ROG Intelligent Cooling, slot mikro SD, menyokong pelbagai akesori ROG dan lain-lain. ROG Ally ini dikatakan hanya seberat 608g sahaja. Setiap pembelian konsol ini akan menerima Xbox Game Pass Ultimate selama 3 bulan.
Konsol ini menjalankan sistem operasi Windows 11 bersama aplikasi Armory Crate yang digunakan untuk menjalankan semua permainan PC pada ROG Ally. Konsol mudah alih ini turut menyokong sambungan ROG XG Mobile eGPU yang membolehkan ia disambungkan kepada televisyen untuk bermain sewaktu ROG Ally dicas.
Buat masa ini tiada sebarang maklumat mengenai harga jualan dan juga ketersediaan konsol ini. Maklutam tersebut hanya akan diketahui pada hari pelancarannya yang telah dijadualkan berlangsung pada 11 Mei ini. Sama-sama kita nantikan.