Close

Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ kini tiba di Malaysia dengan harga bermula RM649K

Mercedes-Benz Malaysia kini sedia menawarkan satu lagi pilihan kenderaan elektrik untuk pengguna tempatan melalui model Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+.

Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ ini hadir dengan sistem pacuan empat roda dengan dua motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 625 hp dan 950 Nm. Boleh memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 3.5 saat dengan kelajuan maksimum 220 km/j.

Namun sekiranya ingin mendapat prestasi lebih, Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ ini turut hadir dengan pakej AMG Dynamic Plus yang akan meningkatkan kuasa kepada 687 hp dan 1000 Nm, boleh memecut 0 ke 100 km/j hanya dalam 3.3 saat sahaja.

Untuk bateri, Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ ini hadir dengan bateri Lithium-ion yang berkapasiti 90.6 kWh dan mampu bergerak antara 458 km hingga 527 km. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan AC pada 11 kW dan turut menyokong pengecasan pantas DC 170 kW yang hanya memerlukan 32 minit untuk pengecasan dari 10% ke 80%.

Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ ini turut didatangkan dengan suspensi udara AMG Ride Control+ yang boleh dilaras untuk sistem pemanduan yang dinamik bergantung kepada mod pemanduan yang digunakan. Selain itu, kereta ini turut menggunakan sistem audio AMG Sound Experience untuk pengalaman audio yang mempersonakan.

Dari segi keselamatan, Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ ini dimuatkan dengan pelbagai ciri seperti sistem PRE-SAFE, Driving Assistance Plus, bantuan stering aktif, bantuan parkir aktif, sistem kamera 360 darjah dan lain-lain. Di Malaysia, Mercedes-AMG EQE 53 4MATIC+ dijual pada harga bermula RM649,888 tanpa insurans.

ARTIKEL BERKAITAN