Close

Xiaomi Auto bakal masuk pasaran Eropah pada 2027

Xiaomi mengumumkan perancangan untuk membawa Xiaomi Auto ke pasaran Eropah pada 2027 termasuk Jerman.

Sebagai langkah pertama, Xiaomi telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lapan kumpulan pengedar automotif utama di Jerman. Pengumuman tersebut dibuat pada acara IFA Berlin 2026, merupakan usaha awal Xiaomi dalam membina rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan untuk pasaran Eropah.

Antara kumpulan pengedar yang terlibat ialah Ernst Dello, Autohaus Dinnebier, Emil Frey Germany, Fett & Wirtz Automobile, Hahn Automobile, LUEG Mobility, Penske-Jacobs Innovation dan SPT Avior.

Menurut Xiaomi, kumpulan-kumpulan ini mempunyai pengalaman luas dalam industri automotif serta operasi jenama premium, sekali gus membantu syarikat menyediakan pengalaman jualan dan perkhidmatan kepada pelanggan Eropah.

Xiaomi Auto dilihat berkembang dengan agak pantas selepas memperkenalkan EV pertama mereka pada 2024. Sehingga Julai 2026, Xiaomi telah mencatatkan penghantaran sekitar 700,000 unit di pasaran domestik China. Model Xiaomi SU7 sahaja telah melepasi jumlah 500,000 unit dalam tempoh 28.5 bulan, manakala Xiaomi YU7 menerima lebih 240,000 tempahan dalam hanya 18 jam selepas dilancarkan.

Buat masa ini, Xiaomi belum lagi mendedahkan secara terperinci model mana yang akan ditawarkan di Eropah serta harga jualannya. Kita mungkin boleh menjangkakan lebih banyak maklumat akan dikongsi menjelang tarikh pelancarannya pada 2027.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN