Bersempena dengan ulang tahun ke-30 PlayStation, LEGO dan PlayStation bekerjasama dalam menghasilkan konsol PlayStation (PS) dalam bentuk LEGO.

Set LEGO konsol PS ini hadir dengan perincian ikonik daripada sejarah PlayStation dan direka hampir sama dengan skala sebenar dengan ukuran sekitar 26cm lebar selepas siap dipasang. Menariknya, set ini bukan sekadar replika biasa tetapi dilengkapi dengan beberapa mekanisme yang boleh ditekan seperti butang Power dan Open.

Selain itu, alat kawalan PlayStation ini turut boleh disambung dan ditanggalkan dari konsol. Set ini turut menampilkan dua diorama yang diinspirasikan daripada permainan klasik PlayStation iaitu Ape Escape dan Gran Turismo. Diorama tersebut boleh ditanggalkan dan diperlihatkan secara berasingan.
Untuk diorama Gran Turismo ia hadir dengan litar mini bersama beberapa kereta bersaiz kecil, manakala diorama Ape Escape pula tampil dengan suasana pulau nostalgia serta topi monyet dengan lampu biru atau merah yang boleh ditukar.

LEGO PlayStation akan mula dijual pada 1 Oktober 2026 melalui PlayStation Direct di beberapa negara terpilih, sebelum tersedia kepada semua pengguna melalui LEGO.com dan LEGO Stores pada 4 Oktober 2026. Set LEGO ini dijual pada harga sekitar $179.99 (RM730).