Teka-teki mengenai rekaan Nothing Phone (2) akhirnya terjawab, menerusi perkongsian terbaru MKBHD melalui saluran YouTube yang mendedahkan rekaan Nothing Phone (2) secara eksklusif.
Melalui perkongsian tersebut, MKBHD telah membandingkan kedua-dua model iaitu Nothing Phone (1) dan Nothing Phone (2). Secara keseluruhan, tiada perubahan ketara dari segi rekaan namun, terdapat beberapa perkara yang menjadikan Nothing Phone (2) sedikit berbeza.
Antara perubahan yang dibawakan pada Nothing Phone (2) adalah pada glyph interface yang kini menggunakan corak putus- putus dan mempunyai 33 zon LED yang boleh dikawal melalui perisian. Selain itu, glyph interface juga dilihat mampu untuk digunakan sebagai lampu notifikasi dan menyokong penyesuaian.
Turut dapat dilihat, rekaan hadapan peranti ini hadir dengan skrin jenis rata yang nipis dan simetri. Sementara, rekaan panel belakang kini menggunakan rekaan sisi yang sedikit melengkung. Kamera swafoto juga kini diletakkan pada bahagian tengah. Nothing Phone (2) juga dilihat akan hadir dengan pilihan warna baharu iaitu Grey.
Namun begitu, MKBHD tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai spesifikasi dalaman dan juga sistem operasi baharu Nothing OS 2.0 yang dilihat lebih menarik dari sebelumnya.