Close

Ulasan Samsung Galaxy Watch6 Classic – Percubaan untuk menyerlah yang berjaya

Samsung Galaxy Watch6 Classic bukanlah jam tangan pintar pertama yang kami cuba untuk tahun ini. Berbeza dengan penawaran dengan jenama lain, Galaxy Watch6 Classic boleh dikatakan antara jam tangan pintar yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pengguna.


Pada Galaxy Watch6 Classic, Samsung telah membawakan sejumlah peningkatan spesifikasi yang lebih baik dan juga penambahbaikan fungsi yang lebih menarik.

Rekaan dan binaan

Biarpun masih lagi menggunakan rekaan yang sama seperti model sebelumnya. Namun, terdapat beberapa perubahan yang dibawakan pada Samsung Galaxy Watch6 Classic. Ia kini ditawarkan dalam dua pilihan saiz dan skrin iatu 43mm atau 47mm dan skrin iaitu 1.3-inci atau 1.5-inci.


Kedua-duanya menggunakan skrin AMOLED yang dilindungi dengan sapphire glass tahan lasak. Dari segi binaan, ia hadir dengan binaan dari Stainless Steel menjadikan ia terasa sedikit berat berbanding model sebelumnya. Namun begitu, peranti ini masih lagi selesa untuk digunakan ketika melakukan pelbagai aktiviti atau sebagainya.


Selain hadir dengan pelindungan yang lebih lasak melalui sapphire glass. Samsung turut menawarkan kecerahan puncak dua kali ganda dari model sebelumnya iaitu 2000 nits. Sekaligus, memudahkan untuk kegunaan di bawah matahari.


Samsung turut membawakan kembali bingkai ikonik yang boleh diputar, membolehkan ia digunakan untuk melakukan navigasi dengan lebih mudah dan pantas. Ia juga adalah perkara yang kami suka mengenai Galaxy Watch6 Classic.




Dua butang kawalan diletakkan di sisi kanan Galaxy Watch6 Classic. Merupakan butang kuasa dan butang back yang kedua-dua diperbuat dari kemasan logam. Butang ini juga boleh diubah suai untuk dijadikan sebagai butang pintasan.

Dari segi ketahanan, Galaxy Watch6 Classic menyokong penarafan IP68, ketahanan tentera MIL-STD-810H dan 5 ATM. Menjadikan peranti ini sesuai untuk digunakan dalam pelbagai aktiviti dan keadaan.

Prestasi


Kemampuan prestasi mungkin perkara yang tidak perlu dirisaukan kerana Galaxy Watch6 Classic ini dikuasakan dengan cip pemproses baharu W930 yang lebih baik dan lebih berkuasa. Selain cip baharu, Galaxy Watch6 Classic turut hadir dengan peningkatan kapasiti RAM iaitu 2GB RAM berbanding 1.5GB RAM pada siri Galaxy Watch 4 dan Watch 5.


Dengan konfigurasi RAM yang lebih besar dan cip baharu yang lebih berkuasa Samsung mendakwa yang Galaxy Watch6 Classic ini mampu menawarkan peningkatan prestasi sehingga 18% lebih baik dari generasi sebelumnya.

Secara keseluruhan, prestasi yang ditawarkan pada Galaxy Watch6 Classic ini adalah sangat mengagumkan. Tiada sebarang masalah yang dihadapi sepanjang penggunaan kami. Semua aplikasi dapat dijalankan dengan sangat lancar dan baik. Pengalaman buka dan tutup aplikasi juga pantas tanpa sebarang isu lengah masa.

Sistem operasi



Galaxy Watch6 Classic merupakan jam tangan pintar terawal yang menjalankan Android Wear OS 4 yang digabungkan dengan sistem operasi terkini dari Samsung iaitu One UI 5. Memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu keselamatan, kecergasan dan juga pemantauan tidur.


Selain itu, ia juga turut menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik dengan beberapa  perubahan yang dibawakan seperti antaramuka yang menarik, tetapan yang lebih mudah untuk digunakan dan aplikasi lebih tersusun melalui apps drawer.


Galaxy Watch6 Classic ini turut hadir dengan beberapa peningkatan dari segi sokongan penderia dan sokongan perisian yang boleh dipantau melalui aplikasi Samsung Health. Ia juga menyokong pembayaran tunai melalui NFC dengan menggunakan Samsung Pay.


Ia juga merupakan jam tangan pintar terawal yang menyokong penjejakan kesihatan lengkap yang merangkumi ECG, Heart rate & HR alert, tekanan darah, ramalan kitaran haid, pemantauan tidur dan fall detection. Untuk ciri kesihatan dan kecergasan ia menyokong pelbagai mod sukan atau senaman secara terbina dan pengguna boleh melakukan rutin senaman secara tersuai.

Secara keseluruhan, sistem operasi yang digunakan pada Watch6 Classic adalah sangat baik dan mudah untuk difahami. Tidak dinafikan Samsung sememangnya pengeluar yang mempunyai sistem operasi yang baik pada semua peranti yang dihasilkan jadi. tidak hairanlah sukar untuk pengguna bertukar kepada peranti yang lain.


Bateri

Dari segi ketahanan bateri, Samsung menyatakan yang Galaxy Watch6 Classic ini mampu bertahan sehingga 40 jam pengguna untuk sekali cas.

Sepanjang percubaan kami, boleh dikatakan ketahanan bateri Galaxy Watch6 Classic agak baik dan mampu mencapai purata sekitar 36 hingga 41 jam untuk penggunaan biasa. Namun, untuk penggunaan yang lebih berat penggunaan bateri menurun kepada 30 jam dan ke bawah.

Untuk menikmati jangka hayat bateri yang lebih panjang anda mungkin boleh menyahaktif beberapa fungsi seperti Always On Display (AOD) dan sebagainya. Namun harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai penggunaan yang berbeza jadi jangka hayat bateri mungkin akan berbeza.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, Galaxy Watch6 Classic boleh dikatakan sebagai salah satu jam tangan pintar terbaik yang ada di pasaran ketika ini. Keupayaan dan juga kemampuan jam tangan pintar ini berada di kelasnya yang tersendiri. Resipi terbaik pada Galaxy Watch6 Classic ini adalah pada sistem operasi yang lancar dan menarik.



Walaubagaimanapun, masih terdapat ruang yang boleh ditambahbaik oleh Samsung dalam usaha untuk menjadikan generasi Galaxy Watch jam tangan pintar yang terbaik di pasaran.

ARTIKEL BERKAITAN