Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) memperluaskan penawaran mereka untuk pasaran tempatan dengan mengumumkan dua varian baharu iaitu Hyundai IONIQ 6 Lite dan 6 Plus.
Hyundai IONIQ 6 Lite dan 6 Plus dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang dengan kuasa 149 hp dan 350 nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 8.8 saat dengan kelajuan maksimum 185 km/j.
Kedua-dua varian menggunakan bateri polimer lithium-ion yang berkapasiti 53 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 429 km (WLTP). Untuk pengecasan, ia mampu mengecas dari 10% hingga 80% hanya dalam 18 minit dengan pengecasan pantas DC 350 kW.
Manakala, dengan pengecasan pantas DC 50 kw ia mampu mengecas 10% hingga 80% hanya dalam 58 minit dan pengecasan AC 11 kW ia mengambil masa 5.5 jam untuk satu isian penuh.
Selain itu, Hyundai IONIQ 6 Lite dan 6 Plus berkongsi kelengkapan dan fungsi yang sama seperti varian Max iaitu dilengkapi dengan 7 beg udara, bantuan pengekalan lorong (LKA), bantuan pengelakan pelanggaran hadapan (FCAA), kawalan jelajah pintar (SCC) dengan fungsi Stop & Go, dan sokongan Vehicle-to-Load (V2L).
Di Malaysia, Hyundai IONIQ 6 Lite dijual pada harga bermula RM219,888 dan 6 Plus pula dijual pada harga bermula RM249,888. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 km. Pra-tempahan telahpun dibuka dengan penghantaran dijangka akan bermula pada suku ke-4 2023.