Peranti pintar yang dijana dengan kecerdasan buatan (AI Pin) dari Humane akan diterima oleh pengguna seawal Mac 2024. AI Pin telah diumumkan pada November lalu dan dijual pada harga sekitar $699 (RM3301).
Menurut Humane, AI Pin akan diterima oleh pengguna lebih awal dari jangkaan. Sebelum ini, Humane menyatakan yang peranti ini tidak akan tersedia sebelum suku pertama 2024. Pengguna yang sudah membuat tempahan akan menerima peranti ini mengikut kepada tarikh pembelian.
AI Pin hadir dengan rekaan kompak dan dimuatkan dengan pelbagai teknologi canggih. Dikuasakan dengan cip pemproses Snapdragon yang tidak didedahkan secara khusus yang dipadankan dengan 4GB RAM dan storan dalaman 32GB eMMC. Turut dilengkapi dengan fungsi pad sentuh, kamera 13MP untuk rakaman imej dan video serta projektor kecil.
Turut dilengkapi dengan pembesar suara yang boleh digunakan untuk panggilan suara dan mendengar muzik. Selain itu, terdapat juga lampu LED notifkasi untuk memaparkan status sedang aktif atau sebaliknya. Spesifikasi lain yang turut hadir seperti e-Sim, Wi-Fi 5, Bluetooth 5.1, GPS dan menjalankan sistem operasi Cosmos.
Ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Equinox, Lunar dan Eclipse. Buat masa ini, ia hanya tersedia untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja.