Close

Apple lepaskan kemas kini iOS 17.3 – Fungsi Stolen Device tiba untuk iPhone

Apple telahpun melepaskan kemas kini baharu iaitu iOS 17.3 untuk pengguna iPhone. Merupakan kemas kini utama yang ketiga untuk iOS 17. Tampil dengan pelbagai penambaikan, penyelesaian masalah pepijat dan pelbagai fungsi baharu.

Fungsi paling menarik pada iOS 17.3 adalah Stolen Device Protection. Fungsi ini akan menyukarkan pencuri untuk menggunakannya atau mengakses data biarpun mengetahui kod laluan. Fungsi ini memerlukan pengesahan melalui Face ID atau Touch ID sebelum melakukan tetapan semula. Sekiranya tetapan semula dikesan di kawasan yang tidak diketahui, proses pengesahan untuk Face ID dan Touch ID perlu dilakukan selepas sejam.

Namun begitu, sekiranya tetapan semula dilakukan di kawasan kebiasaan seperti rumah atau pejabat proses pengesahan Face ID dan Touch ID boleh dilakukan secara segera tanpa perlu menunggu selama sejam.

Fungsi ini perlu diaktifkan secara manual oleh pengguna. Untuk mengaktifkannya, pengguna perlu melakukan pengesahan dua faktor terlebih dahalu. Seterusnya, pergi ke bahagian Setting > Face ID & Passcode > masukkan kata laluan > Turn On Protection.

Selain itu, terdapat beberapa fungsi lain yang turut ditawarkan melalui kemas kini ini seperti sokongan AirPlay yang lebih baik dan Apple Music kini menyokong senarai main rakan dan keluarga. Untuk penyelesaian masalah pepijat pula, Apple menyelesaikan 15 masalah keselamatan yang merangkumi Apple Neural Engine, Mail search, Webkit, safari dan banyak lagi.

Bagi pengguna yang ingin mengemaskini ke iOS 17.3, anda disarankan untuk melakukan proses backup terlebih dahulu. Selain itu, pastikan sambungan Wi-Fi dalam keadaan stabil dan juga peranti tidak menggunakan sebarang perkakasan dari pihak ketiga bagi mengelakkan sebarang masalah selepas kemas kini. Untuk mengemaskini ke iOS 17.3, pergi ke bahagian Settings > General > Software Update.

ARTIKEL BERKAITAN