Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini menyokong Sistem Pembayaran Terbuka di semua stesen yang merangkumi stesen Lembah Klang dan stesen Komuter Utara termasuk Ipoh.
Sistem Pembayaran Terbuka ini memberikan pengguna lebih banyak pilihan pembayaran berbanding apa yang ditawarkan pada ketika ini melalui aplikasi KITS KTMB atau kad Touch ‘n Go. Sistem Pembayaran Terbuka ini membolehkan pengguna melakukan pembayaran melalui kad debit, kad kredit dan mod bercirikan Near Field Communication (NFC) seperti Apple Pay atau Samsung Pay.
Pengenalan sistem ini dilihat akan lebih memudahkan pengguna sekaligus dapat mempercepatkan lagi proses pembayaran. Walaubagaimanapun, Sistem Pembayaran Terbuka ini hanya tersedia untuk kemudahan Komuter sahaja tidak termasuk ETS. Sebab utama ETS tidak menyokong sistem ini adalah ia memerlukan pengguna membeli secara dalam talian serta melibatkan tempat duduk tertentu dan terhad.