WhatsApp bakal membolehkan pengguna menghantar gambar dan video pada resolusi HD secara automatik. Sebelum ini, fungsi ini perlu ditetapkan secara manual dengan memilih resolusi HD setiap kali mahu menghantar gambar dan video.
Terbaru, fungsi yang membolehkan gambar dan video HD dihantar secara automatik dilaporkan telahpun diuji melalui WhatsApp Beta. Fungsi ini membolehkan pengguna menetapkan kualiti media melalui tetapan. Pengguna hanya perlu menetapkan sekali sahaja kualiti media seterusnya ia akan menghantar gambar dan video HD secara automatik tanpa perlu dilakukan secara manual seperti sebelum ini.
Namun begitu, kualiti HD yang dihantar bukanlah 100% sama seperti kualiti asal. Sekiranya anda ingin menghantar dengan kualiti asal ia boleh dilakukan dengan menghantar sebagai dokumen.
Buat masa ini tidak dapat dipastikan bilakah fungsi ini akan tersedia untuk semua pengguna. Kita mungkin boleh menjangkakan yang ia akan tiba dalam masa terdekat.